Setelah pelbagai spekulasi, kerajaan akhirnya mengumumkan Cukai Barang & Perkhidmatan (GST) 6 peratus akan diperkenal.
Ia akan menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan dimansuhkan.
Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak membentangkan cadangan itu dalam pembentangan Bajet 2014 hari ini.
Pengumuman itu disambut sorakan bantahan anggota Parlimen pembangkang yang konsisten menentang cukai itu daripada dilaksanakan.
Menyambung pembentangannya, beliau yang juga perdana menteri berkata, GST sistem percukaian terbaik kerana majoriti negara dunia pakai sistem itu.
Antara intipati berkaitan cukai tersebut yang diumumkan oleh Najib dalam Bajet 2014:
- GST tidak akan dikenakan bagi bagi bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik.
- Perkhidmatan pengangkutan seperti bas, kereta api, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuh raya serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan dikecualikan daripada GST.
- GST tidak dikenakan kepada barangan makanan asas, bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan pengguna domestik; perkhidmatan yang disediakan kerajaan seperti pengeluaran pasport dan lesen, persekolahan serta kesihatan.
- Turut dikecualikan GST perkhidmatan pengangkutan, jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan terpilih.
- Apabila GST dilaksanakan pada 2015, kerajaan akan beri bantuan tunai RM300 sekali bayar kepada penerima isirumah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M); kadar cukai individu akan dikurangkan 1 hingga 3 mata peratusan; dan struktur cukai pendapatan individu disusun semula.