Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penduduk kata tak bersedia hadapi banjir lumpur
Diterbitkan:  Oct 24, 2013 2:30 PM
Dikemaskini: 6:34 AM

Penduduk Kampung Bertam Valley, Cameron Highlands mendakwa tidak bersedia untuk menghadapi terjahan banjir lumpur yang melanda kawasan itu semalam walaupun telah mendengar siren amaran dibunyikan pada tengah malam.

Ketua kampung tersebut Wong Fook Chai memberitahu The Star bahawa mereka mendengar siren dibunyikan selama 15 hingga 20 minit sebelum air yang dilepaskan dari empangan di hulu sungai menerjah kampung mereka.

“Kami tidak bersedia. Bagaimana kami nak tahu? Biasanya air yang dilepaskan tidak akan melimpahi tebing sungai,” katanya seperti dipetik akhbar tersebut.

Wong juga tidak pasti sekiranya pembangunan yang terlalu pesat dijalankan di kawasan hulu sungai kerana terdapat banyak kebun sayur di kawasan itu.

Katanya, beliau tidak dapat membayangkan bahawa bencana seperti itu akan berlaku.

Sementara itu, presiden Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands R Ramakrishnan berkata Tenaga Nasional Berhad telah memberi amaran secukupnya untuk membolehkan penduduk berpindah.

“Mereka membunyikan siren selama setengah jam sebelum melepas air dari empangan,” katanya seperti dipetik akhbar tersebut.

Sementara itu, laporan akhbar New Straits Times pula memetik kenyataan ketua polis daerah DSP Wan Mohd Zahari Wan Busu yang berkata, polis dimaklumkan oleh TNB mengenai amaran tersebut dan meminta penduduk di kawasan sekitar empangan tersebut supaya berpindah.

“Kami tidak menjangka keadaan akan menjadi begini. Kami menghadapi siatuasi serupa pada 1988 tapi tidak seteruk ini,” katanya.

Dilaporkan, tiga individu maut termasuk dua warga asing dan seorang rakyat Malaysia manakala seorang lagi dipercayai masih hilang dalam kejadian bajir kilat tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS