Polis memulakan siasatan ke atas individu bernama “Saravanan” yang dirakam mengadakan perbualan dengan guru besar SK Puchong Jaya berhubung penyembelihan korban di kawasan sekolah sempena sambutan Aidiladha.
Laporan Sin Chew Daily semalam memetik kenyataan ketua polis daerah Serdang ACP Abdul Razak Elias, bahawa pasukan itu membuka siasatan ekoran laporan yang dibuat oleh guru besar sekolah tersebut.
Menurut Sin Chew, polis kini sedang mencari “Saravanan” untuk membantu siasatan.
Menurut laporan tersebut, guru besar tersebut, Mohd Amin Bahari, bimbang dengan keselamatan dirinya dan juga keselamatan harta sekolah selepas perbualan dengan “Saravanan”.
Dalam rakaman yang dimuatkan "Saravanan" di Youtube, Mohd Amin mempertahankan ibadah korban yang dijalankan di kawasan sekolah tersebut pada minggu lalu.
Rakaman perbualan tersebut dimuatkan di Youtube sejak lima hari lalu.
Dalam rakaman tersebut, Saravanan menuntut penjelasan berhubung penyembelihan lembu di kawasan sekolah.
Mohd Amin seterusnya menjelaskan bahawa tiada pekeliling yang melarang perbuatan tersebut.
Katanya, penyembelihan korban semasa Aidiladha perlu dianjurkan di kalangan orang Islam, terutama di kalangan pelajar.
"Dalam Islam, penyembelihan hari raya korban ini, memang sepatutnya diuar-uarkan kepada umat Islam, khususnya kepada murid-murid," katanya dalam rakaman itu.
Perkara itu perlu digiatkan agar generasi muda mengetahui bahawa ia adalah tuntutan Islam, katanya lagi dalam rakaman sepanjang lebih 8 minit itu, yang dimuatkan oleh pengguna bernama 'zeeraf87'.
Mohd Amin berkata, ibadah tersebut tidak dijalankan dengan niat untuk menghina penganut Hindu yang menganggap lembu sebagai makhluk suci.
"Memang kita digalakkan memberitahu murid-murid, kepada anak-anak kita khususnya, bahawa (ibadah) korban ini satu yang disuruh oleh agama Islam. Bukan kita buat penyembelihan ini atas dasar untuk menghina agama lain.
"Sebelum saya menjalankan aktiviti di sekolah, kita telah berbincang dengan semua guru saya. Guru-guru saya ada yang Cina, ada India, yang bukan Islamlah," katanya.
Katanya, pihak sekolah memberitahu guru dan pelajar berbangsa India, serta golongan bukan Islam lain untuk dipisahkan dari upacara tersebut.
“Kami tidak membenarkan mereka melihat,” katanya.
Mohd Amin berkata, beliau mendapatkan pandangan kesemua guru termasuk bukan Islam berhubung aktiviti sekolah seperti itu.