Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri kata ada polis hilang pistol dalam tandas
Diterbitkan:  Oct 22, 2013 5:47 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

VIDEO / 2:33 MINIT 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa pasukan polis kehilangan 44 pucuk senjata api antara 2010 dan 2012, antaranya disebabkan kes ragut, samun, dan ada juga yang hilang “dalam tandas”.

Selain itu, ada di antara senjata ringan jenis pistol atau revolver tersebut yang didapati hilang di pejabat, tercicir ketika menjalankan tugas, dan juga hilang akibat kes pecah kereta, katanya dalam satu jawapan bertulis di Parlimen.

Daripada jumlah itu, sebanyak 44 pucuk senjata api berkenaan berjaya dijumpai semula.

“Jika terdapat bukti wujudnya kecuaian maka pegawai yang bertanggungjawab akan diambil tindakan surcaj atau tatatertib atau kedua-duanya sekali,” kata Ahmad Zahid dalam jawapan tersebut.

Katanya lagi, kes tersebut disiasat oleh satu jawatankuasa mengikut Seksyen 79 Akta Polis 1976, dan juga Perintah Tetap Ketua Polis Negara A122 dan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 tahun 2007.

Menjawab soalan olah Tian Chua (PKR-Batu) itu, Ahmad Zahid berkata pasukan polis juga sedang membangunkan sistem baru untuk memantau kes kehilangan aset PDRM – bermula dari kes kehilangan sehinggalah kepada tindakan kepada anggota terlibat.

Isu berhubung kehilangan senjatan berkenaan pada awalnya dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang mendapati kehilangan barangan tersebut, selain kenderaan dan barangan lain, melibatkan melibatkan kerugian berjumlah RM1.33 juta.

Dalam penjelasannya awal bulan ini, Ahmad Zahid berkata: "Kehilangan ini tak semestinya jatuh kepada penjenayah, boleh jadi jatuh waktu atas bot dalam laut, boleh jadi jatuh dalam air dan tak ada orang yang dapat."

Mengulas perkara itu, Tian Chua berkata jawapan Ahmad Zahid hari ini masih belum memuaskan hatinya kerana tidak menjelaskan kehilangan tersebut dengan terperinci.,

“Kita tidak tahu apa maksud dalam kategori 'kehilangan dalam pejabat'. Adakah pejabat ini dipecah masuk atau ada orang yang ambil atau dicuri di kalangan anggota polis?

“Kita tidak tahu, 'kehilangan dalam tandas', adakah maksudnya polis pergi tandas, dia tinggalkan senjata api dalam tandas dan keluar, dan bila balik senjata api sudah hilang?

“Tapi jelas... Tiada satu pun senjata ini terjatuh dalam laut,” katanya dalam reaksi segera selepas menerima jawapan bertulis Ahmad Zahid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS