Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah dalam keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini terhadap akhbar mingguan The Herald tidak akan membabitkan penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak.

Malahan kata Najib, persetujuan 10 perkara yang ditandangani beliau sendiri pada 11 April 2011 masih kekal dan terus diguna pakai.

Antara kandungan persetujuan 10 perkara tersebut ialah membenarkan pengimportan dan penerbitan kitab Injil dalam semua bahasa, termasuk Bahasa Malaysia dengan penggunaan perkataan Allah tanpa sekatan.

Beliau dengan tegasnya mengingatkan agar keputusan mahkamah itu tidak dijadikan modal politik oleh sesetengah pihak.

"Jangan jadi batu api, jangan bermain dengan api kerana tindakan itu boleh membakar diri sendiri.

"Kepada rakyat (penganut Kristian) jangan sesiapa tertekan kerana amalan agama akan kekal seperti sebelum ini," katanya semasa ucapan perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-28 di Kota Kinabalu petang tadi.

'Pesan' pada pengikut Kiram

Menyentuh mengenai Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) dan Zon Keselamatan Khas Timur Sabah (Esszone), Najib menegaskan bahawa, kedua-dua komponen keselamatan itu akan terus dimantapkan.

"Pusat bersama kerajaan negeri buat keputusan bersama untuk menjamin keselamatan dan kedaulatan Sabah. Sekali lagi saya tegaskan walau seinci tanah pun tetap kita akan pertahankan.

"Nasihat saya kepada pengikut Jamalul Kiram III cukuplah dengan perjuangan sia-sia kerana tindakan itu akan hanya membawa kebinasaan kepada mereka.

"Rakyat Sabah tidak akan sesekali benarkan mereka bertapak di sini, bersatu kita teguh, jadi kenapa perlunya kita bercerai-berai," katanya.

Turut hadir dalam persidangan tersebut adalah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Aman dan Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS