Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid hargai, Mukhriz salahkan 'portal pro-pembangkang'
Diterbitkan:  Oct 20, 2013 11:14 AM
Dikemaskini: 4:51 AM

Naib presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan penghargaan kepada portal 'pro-pembangkang' tertentu yang menurutnya menyumbang kepada sokongan yang diperolehinya bagi mengekalkan kedudukan dalam pemilihan parti bagi jawatan itu semalam.

Liputan media berkenaan, yang tidak dinamakannya, turut membantu mempromosi beliau, katanya seperti dipetik dalam laporan portal Mstar Online.

 "Saya ucapkan terima kasih kepada portal-portal, majalah dan bahan-bahan liputan di media sosial pro-pembangkang.

"Mereka sebenarnya turut membantu mempopularkan saya," katanya, yang menerima undi terbanyak sebanyak 185 undi berbanding lima calon lain bagi jawatan tersebut.

Ahmad Zahid sebelum ini bergelut dengan kontroversi susulan kenyataannya, termasuk saranan agar polis melepaskan tembakan terlebih dahulu apabila berpdenan dengan penjenayah.

Beliau bersama dua lagi penyandang jawatan tersebut, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berjaya mengekalkan kedudukan mereka dalam pemilihan semalam.

Penghargaan seperti itu amat kontras dengan sikap yang ditunjukkan seorang lagi calon jawatan berkenaan, Datuk Mukhriz Mahathir yang tewas dalam pertandingan berkenaan.

Mukhriz menyalahkan “portal pro-pembangkang” The Malaysian Insider yang didakwa mencemar nama baiknya dalam satu laporan kerana menyebut beliau terlibat dengan politik wang dalam pertandingan tersebut.

"Sambil kita mempertahankan hak untuk bersuara dan media yang bebas tetapi pada masa sama mesti ada kebertanggungjawaban, khususnya media alternatif.

"Ini kerana laporan tidak berasas seperti itu yang bertujuan semata-mata mencemar nama baik saya dan orang tertentu adalah satu amalan (yang) tidak boleh diterima sama sekali," katanya seperti dipetik dalam laporan Utusan Malaysia hari ini.

Kenyataannya itu merujuk kepada laporan bertajuk 'Mukhriz raises the stakes in VP race with 1.2 million SMS blast plus windfall for party branches - sources'.

Ia turut merujuk kepada laporan dalam edisi bahasa Melayu bertajuk 'Jentera kempen Mukhriz agresif, hujan emas dijangka turun bermula lewat malam' yang disiarkan laman tersebut.

Portal berkenaan semalam memohon maaf kepada Mukhriz atas "kesulitan yang timbul" ekoran penyiaran laporan tersebut.

Mukhriz hanya ketinggalan 10 undi untuk membolehkannya mendahului di tempat ketiga bagi jawatan berkenaan.

Hishammuddin di hadapannya dengan 100 undi manakala Hishammuddin dan Ahmad Zahid masing-masing mendapat 17 dan 185 undi.

Dua lagi pencabar untuk jawatan tersebut, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam masing-masing hanya meraih tujuh undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS