NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) tiada masalah dengan hasrat mana-mana penganut Kristian yang mahu terus berdoa dan menggunakan kalimah 'Allah' dalam doa mereka.
Timbalan Presidennya, Aminuddin Yahaya (kiri) berkata pengharaman kalimah 'Allah' hanya untuk penerbitan The Herald yang sekarang dianggap mahkamah mempunyai unsur-unsur penyebaran Kristian kepada umat Islam.
"Mahkamah tak haramkan sepenuhnya cuma dalam konteks Herald sahaja sebab ada elemen penyebaran (Kristian).
"Kalau nak guna dalam gereja, dalam doa mereka, teruskanlah tak ada masalah," katanya pada sidang media selepas forum 'Ancaman Liberalisasi' anjuran ISMA di Kuala Lumpur pagi tadi.
ISMA sebelum ini mengumumkan yang mana-mana individu yang tidak bersetuju dengan pengharaman penggunaan kalimah 'Allah' oleh penganut Kristian agar meninggalkan Malaysia.
Bagaimana pun, beberapa penduduk Sabah dan Sarawak memahamkan pengumuman itu sebagai satu seruan agar Sabah dan Sarawak berpisah dari Malaysia.
ISMA menafikan perkara itu dan menyalahkan kumpulan mubaligh tertentu yang didakwanya menyebarkan salah faham tersebut.