Dakwaan mengenai masalah yang berlaku dalam Felda dan isu yang dihadapi golongan peneroka sebelum ini sering dibangkitkan oleh NGO yang dekat dengan Pakatan Rakyat seperti Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan.
Tapi lain pula halnya kali ini, dalam suasana kempen untuk pemilihan Umno yang hanya berbaki dua hari.
Seorang dari calon untuk jawatan naib presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa Samad, yang juga pengerusi Felda Global Ventures Bhd (FGV), kini berhadapan dengan cabaran baru sekumpulan peneroka Felda dilaporkan membuat laporan polis ke atasnya.
Dakwaan ke atas Mohd Isa itu mendapat liputan oleh media arus perdana yang mesra Umno, iaitu akhbar New Straits Times dan juga stesen TV3.
Laporan New Straits Times mendakwa Isa selaku pengerusi firma berkenaan membuat kenyatan berbeza kepada Bursa Malaysia berhubung perletakan jawatan bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Felda, Tan Sri Sabri Ahmad sebelum ini.
Menurut akhbar tersebut, laporan polis itu yang dibuat di ibu pejabat polis daerah Tanjong Malim, Perak semalam adalah berdasarkan tulisan di blog bigdogdotcom.wordpress.com bertarikh 4 Oktober yang mendakwa Sabri telah meletak jawatannya pada 29 Ogos lalu.
Peguam peneroka berkenaan, Aminuddin Zulkifli, dalam laporan tersebut berkata tulisan di blog sama mendakwa Sabri tidak pernah menghantar sebarang surat meletak jawatan pada tarikh itu.
Menurut Aminuddin, Sabri pada masa itu sakit teruk dan berada di wad sebuah hospital di Kuala Lumpur.
"Beliau tidak dibenar menerima tetamu dan pastinya tiada sebarang kerja diserahkan kepadanya sewaktu di hospital apatah lagi sebarang kertas yang perlu ditandatanganinya untuk memuktamadkan hasrat beliau meninggalkan FGV," kata Aminuddin.
Tujuh peneroka merangkap pemegang saham dari Felda Trolak dan Felda Sungkai membuat laporan itu bagi menggesa siasatan terperinci dilakukan bagi memastikan kesahihan dakwaan itu.
Laporan New Straits Times hari ini turut memetik kenyataan Mohd Isa kepada stesen TV3, yang menyerahkan kes itu untuk siasatan polis.
Katanya, Malaysia merupakan negara bebas dan semua pihak bebas untuk membuat laporan polis.