Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP tetap mahu Kristian dibenar guna kalimah 'Allah'
Diterbitkan:  Oct 17, 2013 12:37 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng menegaskan bahawa parti itu tetap dengan pendiriannya agar penganut Kristian dibenarkan mengguna kalimah 'Allah' dalam Bible versi bahasa Malaysia.

Bagaimanapun, ia tidak mewakili pendirian Pakatan Rakyat, kata Lim yang berkata gabungan parti tersebut akan bermesyuarat hari ini untuk membentuk satu kenyataan bersama berhubung isu berkenaan.

Lim dalam laporan Sinar Harian hari ini dipetik sebagai berkata, DAP tidak akan berganjak dari pendirian mereka sebelum ini.

“Walaupun Mahkamah Rayuan memutuskan Gereja Katolik dilarang menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguannya The Herald, kita (DAP) tetap dengan pendirian seperti sebelum ini.

"Pendirian DAP berhubung isu kalimah ALLAH adalah jelas,” katanya seperti dipetik akhbar tersebut.

Ketika isu kalimah Allah itu memuncak pada Disember tahun lalu, Lim dalam kenyataannya juga menggesa agar kerajaan BN tidak mempolitikkan agama Kristian untuk meraih sokongan pengundi Melayu.

Pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat juga bertemu pada bulan seterusnya untuk membentuk kenyataan bersama berhubung isu berkenaan.

Dalam kenyataannya pada waktu itu, presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah 'Allah' dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

Katanya, kerajaan Umno-BN menjadikannya isu tersebut sebagai satu polemik dengan menggunakan media arus perdana, dan seterusnya menyebabkan ketegangan penduduk pelbagai agama dalam masyarakat majmuk.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media sama pada waktu itu Anwar mengalu-alukan pendirian PAS itu sebagai pendirian bersama Pakatan Rakyat.

The Herald pada awalnya dikenakan tindakan oleh Kementerian Dalam Negeri apabila edisi Bahasa Melayunya didapati menggunakan kalimah 'Allah' untuk merujuk kepada Tuhan dalam agama Kristian.

Bagaimanapun, dalam penghakimannya pada bulan Disember 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa larangan menyeluruh KDN berhubung penggunaan perkataan 'Allah' adalah salah di sisi undang-undang.

Penghakiman tersebut – yang mencetuskan siri serangan membakar beberapa gereja di seluruh negara pada bulan berikutnya – kemudiannya digantung sementara.

Mahkamah Rayuan pada Isnin lalu kemudiannya membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dan memutuskan Gereja Katolik dilarang menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya The Herald.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS