Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menurut keputusan tidak rasmi, telah mempertahankan jawatannya sebagai ketua Pemuda Umno Malaysia, menyifatkannya sebagai satu pengiktirafan kepada aliran progresif dalam pergerakan itu.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ringkas di pusat penjumlahan undi pemilihan di ibu pejabat Umno sebentar tadi.
"Kalau kemenangan itu kemenangan yang besar, ini adalah pengesahan bahawa saya sedikit sebanyak telah berjaya membawa pemikiran progresif ini menewaskan kuasa konservatif dalam parti Umno," katanya kepada pemberita.
Keputusan tidak rasmi sehingga tengah malam ini bagi pertandingan jawatan ketua pemuda Umno menunjukkan menteri belia dan sukan itu mendahului pencabarnya dengan menang selesa di hampir semua undi 191 bahagian.
Pencabarnya terdiri daripada Syed Rosli Syed Harman, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Irwan Ambak Khalid Izhar dan Abd Karim Ali.
Keempat-empat mereka sehingga jam 12 malam tadi masih belum memperolehi sebarang undi.
Bercakap lanjut, Khairy menzahirkan kekesalannya terhadap kempen pencabar-pencabarnya yang dianggap cuba memperkenalkan pemikiran terkebelakang dan konservatif.
"Saya anggap pemilihan kali ini sebagai satu pertarungan antara pemikiran progresif dalam parti kita dan pencabar-pencabar saya malangnya bawa pemikiran regresif yang ke belakang.
"Jadi bagi saya kalau sekiranya kalau saya berjaya dan diberi amanah oleh akar umbi, saya rasa ini pengesahan bahawa pendekatan dan pemikiran progresif ini sebenarnya diterima oleh akar umbi," kata Khairy yang masih belum meraikan secara rasmi kemenangannya mempertahankan jawatan itu untuk penggal yang kedua.
Beliau juga berhasrat untuk terus mengepalai sayap yang dipimpinnya itu dalam mendepani transformasi parti dan negara.
"Pemuda perlu terus berada di hadapan keluk perubahan jika saya menang," katanya.