Belum pun kempen pilihan raya kecil DUN Sungai Limau bermula, Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar melancarkan 'serangan psikologi' bahawa pengundi tidak perlu bimbang untuk memilih mereka kerana kerajaan negeri tidak akan bertukar.
"Rakyat tidak perlu bimbang bahawa mereka mengundi PAS dan Pakatan Rakyat, dalam pilihan raya ini tidak menjatuhkan kerajaan negeri yang sedia ada," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media pejabat PAS di Kuala Lumpur petang ini.
"Datuk Mukhriz (Mahathir) tak perlu bimbang, jika mereka kalah, kerajaan BN masih lagi kekal. Jadi adalah kewajarannya pengundi terus mempertahankan kemenangan selama lima penggal bersama Allahyarham Tan Sri Azizan (Razak) untuk diteruskan oleh anak didik beliau."
Malaysiakini sebelum ini melaporkan, anak didik Azizan - Ketua Pemuda PAS Jerai dan pendidik Azam Samad dan Setiausaha Khas kepada bekas menteri besar Muzaini Azizan - antara yang disebut-sebut bakal dicalonkan.
Mahfuz yang juga naib presiden PAS turut membidas kenyataan Mukhriz pernah menyatakan pembangunan akan dibuat di DUN itu jika BN menang di Sungai Limau.
Mahfuz menyifatkannya seolah-olah "politik ugut" kepada rakyat dan tidak wajar dinyatakan kerana ia membawa maksud jika BN kalah, seolah-olah tidak ada pembangunan di kawasan pembangkang
'Lemah jika tabur duit'
Ahli parlimen Pokok Sena itu menyamakan kenyataan Mukhriz itu seperti kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said (bawah) sebelum ini bahawa pembangunan tidak akan dibuat pembangunan di kawasan yang dimenangi pembangkang di negeri itu.
"Kerajaan negeri yang memerintah, bertanggungjawab membawa pembangunan yang dimenangi oleh pembangkang termasuk di DUN Sungai Limau," kata Mahfuz.
Mahfuz turut menyifatkan BN sebagai "lemah" sekiranya mereka "menabur duit" dengan jumlah yang besar seperti pilihan raya kecil DUN Kuala Besut untuk merasai kemenangan di DUN Sungai Limau.
"Mungkin itu dilihat rezeki kepada rakyat Sungai Limau.
"PAS tidak perlu berbelanja besar kerana kita tidak ada sumber kewangan dan tidak mahu pembaziran. Apa yang penting kita mahu membentuk minda politik yang bijaksana untuk mereka membuat pertimbangan sewajarnya," katanya.