Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, boleh menembak penjenayah tetapi "perlu kena pada tempatnya".
"Kita kena tahu dia penjenayah atau pun tidak. Kalau dia bersenjatakan parang sahaja, anggota polis kita banyak yang tahu silat. Cukuplah, sepadan dengan penjenayah itu.
"Penjenayah ada kecil besar," katanya ketika diminta mengulas berhubung kenyataan kontroversi "tembak dulu" oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi baru-baru ini.
Diminta menjelaskan pendiriannya sama ada bersetuju atau tidak, Abdul Hadi menjawab:
"Tindakan (menembak) boleh, tapi kena pada tempatnya. Bukan tak boleh, (tapi) kena pada tempatnya," katanya sambil ketawa kecil.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kenyataan Zahid kerana "tidak membaca dan tidak mengetahui soalan yang dikemukakan" terhadap menteri tersebut.
Tiada maklumat isu balak Kelantan
Turut hadir dalam sidang media itu, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali, dua Naib Presiden PAS Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar dan ADUN Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah.
Diminta mengulas pendedahan ADUN Salor Datuk Husam Musa (kiri) yang meminta kerajaan negeri tidak meluluskan permohonan sebuah syarikat untuk menebang kawasan 1,400 hektar di hutan simpan Kekal Ulu Sat, Machang, Abdul Hadi berkata beliau tidak ada maklumat mengenai perkara itu.
Husam dilapor berkata sewaktu kerajaan negeri pimpinan Datuk Nik Aziz Nik Mat, satu keputusan telah dicapai bahawa semua permohonan baru di kawasan hutan simpan itu mesti ditolak dan mendakwa syarikat berkenaan bakal menerima kawasan tersebut tanpa membuat sebarang tender.
"Saya tidak ikuti dan tidak ada maklumat terperinci. Sidang DUN masih berjalan. Penggulungan dah dibuat...Ya, kita akan periksa," kata Abdul Hadi lagi.
'Matlamat tidak halalkan cara'
Mengulas kenyataan Zahid itu, Salahudin (kanan) berkata pihak keselamatan perlu merujuk kepada standard prosedur operasi (SOP) untuk menembak jenayah sekalipun dalam kritikal mana situasinya.
"Saya rasa walau apapun isunya, perlembagaan dan peraturan tidak boleh dikebelakangkan.
"Apa yang harus diperbetulkan adalah kaedah atau pendekatan yang perlu diambil oleh pihak keselamatan... Matlamat tidak boleh menghalalkan cara," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang itu.
Sementara itu, Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyindir Abdul Hadi dengan menganggap kenyataan presiden PAS itu sebagai satu penghinaan terhadap anggota polis.
Katanya, kenyataan pemimpin itu didakwanya mempersenda dan memperkecil peranan polis menjaga keamanan negara.