dikemaskini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata beliau tidak mendengar Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyebut tentang kenyataannya kontroversi "tembak dulu" suspek penjenayah.
"Saya ada di situ (tetapi) saya tak perasaan bahagian mana yang dia berucap itu. Yang pentingnya saya ada di situ, saya bertahan kerana saya ini jenis orang yang sukar hendak tidur.
"Saya mendengar ucapan itu sepenuhnya dan saya tidak mendengar perkataan itu," katanya dalam sidang media tengah hari ini.
Shahidan turut hadir dalam majlis taklimat keselamatan kontroversi bersama Zahid di Melaka sebelum ini.
'Haram rakam majlis terutup'
Menurut Shahidan, tindakan menulis berita dari ucapan menteri pada majlis tertutup adalah 'tidak adil" dan salah dari sisi agama Islam.
"Tak adillah untuk petik dari ucapan pada majlis tertutup.
"Dia (Zahid) ada buat PC (sidang media)? Jadi macam mana awak ( Malaysiakini ) petik ucapan dia?
"(Kalau petik dari) rakaman (majlis tertutup hukumnya) haram," katanya sewaktu diminta mengulas tentang kenyataan Zahid sebelum ini.
Menurutnya lagi, berita yang mendakwa Zahid berkata demikian bersifat sensasi semata-mata dan beliau mencadangkan agar Zahid mengambil tindakan undang-undang.
"Kenapa bercakap tentang perkara yang tak ada? Saya ingat ini bertujuan sensasi sahaja.
"Lagipun taklimat itu taklimat keselamatan, bukan taklimat JKKK.
"Ia taklimat keselamatan berhubung jenayah serius yang berlaku dalam negara ini," katanya.
Malaysiakini telah mendapatkan rakaman audio sepanjang 20 minit bagi ucapan yang disampaikan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh, Melaka.
Berdasarkan rakaman tersebut, Ahmad Zahid berkata kira-kira 28,000 dari 40,000 anggota gengster terdiri daripada masyarakat India dan tiada salahnya untuk menahan golongan itu.
Berdasar rakaman itu lagi, Ahmad Zahid berkata: “Bagaimana keadaan mangsa-mangsa rompakan, mangsa-mangsa bunuh masa tembakan ini, kebanyakannya adalah orang Melayu kita. Kebanyakannya ialah bangsa kita.
“Saya pikir, cara paling baik jangan ada kompromi dengan mereka. Jangan ada lagi amaran kepada mereka, kita dapat bukti kita tembak dulu".
Shahidan yang turut hadir pada majlis itu diperkenalkan kepada hadirin sebagai salah seorang daripada calon Majlis Tertinggi Umno dan disifatkan Zahid sebagai salah seorang daripada ahli kumpulan gangster 'Tiga Line'.
Shafie pun digelar 'lanun'
Mengulas perkara ini, Shahidan berkata ia adalah satu bentuk jenaka seperti mana Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal ( bawah ) yang selalu digelar 'lanun dari Sabah'.
"Dia macam inilah...seperti di perhimpunan agung Umno, orang guna (istilah) apa untuk Shafie Apdal?
"'Lanun'...jadi adakah Shafie Apdal ini 'lanun'?
"Tambahan pula sekarang ini beliau cover tugas menteri agama, jadi adakah 'lanun' jaga agama?" tanya beliau.
Beliau sebelum itu merasmikan Stesen Udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Subang.