Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khairy: Ya, kementerian bayar K-Pop RM1.6 juta
Diterbitkan:  Oct 2, 2013 5:53 PM
Dikemaskini: 11:44 AM

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengakui kementerian itu membayar RM1.6 juta untuk acara konsert K-Pop pada tahun 2012 seperti dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Menurutnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuat bayaran itu selepas syarikat yang menawarkan penajaan tidak meneruskan pembiayaan itu.

NONE "Mengenai konsert K-pop di sambutan Hari Belia 2012 yang mendapat perhatian orang ramai - memang betul konsert ini dibiayai KBS.

"Kenyataan awal bahawa konsert itu ditaja oleh pihak swasta dibuat kerana pada ketika itu ada tawaran dari pihak swasta untuk menaja aktiviti tersebut.

"Namun, tajaan itu akhirnya tidak diberi dan KBS terpaksa tanggung pembayaran untuk konsert K-pop di Hari Belia 2012," katanya menerusi kenyataan pada laman Facebook beliau.

Jelasnya lagi, pihaknya tidak akan meneruskan lagi acara sebegitu pada sambutan Hari Belia 2013 dan tahun-tahun akan datang.

'Saya mesti jawab & bertindak'

Ketua setiausaha kementerian Mohd Mohamad dalam laporan Bernama tahun lalu menyatakan bahawa kos membawa masuk persembahan tersebut ditanggung penaja.

Tiga kumpulan K-Pop - U-Kiss, Teen-Top dan Dal shabet - dilapor ditampilkan untuk persembahan pada acara tersebut oleh syarikat Stadium First Sdn Bhd.

NONE Menurut Khairy, beliau bertanggungjawab menjelaskan perkara itu walaupun beliau bukanlah menteri KBS pada masa itu.

"Saya tidak boleh menggunakan alasan bahawa laporan ini adalah tentang perbelanjaan di KBS sebelum saya dilantik sebagai menteri.

"Prinsip kebertanggungjawapan bersama atau collective responsibility bermakna saya mesti menjawab dan bertindak ke atas apa yang berlaku dalam kementerian saya," katanya.

Menteri belia dan sukan sewaktu sambutan itu berlangsung adalah Datuk Seri Shabery Cheek yang kini merupakan menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS