Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yakin bahawa senjata api polis yang dilaporkan hilang dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 tidak jatuh ke tangan penjenayah.

Menurutnya, setiap senjata api dilengkapi tanda pengenalannya dan sehingga kini  polis belum pernah mengesan senjata api tersebut digunakan mana-mana penjenayah.

NONE"Daripada 37 senjata api yg hilang, setakat ini daripada laporan balistik kita, daripada 37 yang hilang itu kita belum kesan lagi bahawa senjata api ini pernah digunakan untuk tujuan jenayah.

"Kehilangan ini tak semestinya jatuh kepada penjenayah, boleh jadi jatuh waktu atas bot dalam laut, boleh jadi jatuh dalam air dan tak ada orang yang dapat," katanya pada sidang media pagi tadi.

Angka yang dinyatakan oleh Khalid itu berbeza angka uamg digariskan dalam laporan audit.

Laporan audit menyebut bahawa polis kehilangan 44 laras senjata api, 156 gari dan 29 kenderaan.

Khalid pula berkata polis kehilangan 166 pasang gari serta 32 buah kenderaan yang terdiri daripada 3 buah kereta dan 29 biji motosikal.

Jenis senjata api yang dilaporkan hilang itu bagaimanapun tidak dipastikan.

Sementara itu, sumber dalaman Bukit Aman yang dihubungi Malaysiakini menjelaskan perbezaan jumlah senjata api yang hilang itu adalah kerana tujuh pucuk daripada yang dinyatakan dalam laporan audit telah berjaya ditemui semula.

Anggota diarah ganti kos senjata api

Khalid pula ketika menjelaskan perkara itu lebih lanjut dalam sidang medianya berkata, semua kes kehilangan itu disiasat melalui 212 jawatankuasa inkuiri dalaman.

Tambahnya, 118 kes itu masih dalam siasatan sementara baki 94 kes berjaya diselesaikan.

Jelasnya, polis yang bersalah menghilangkan senjata api mereka diminta membayar kos senjata dan nilai terkumpul setakat ini adalah sebanyak RM197,984.

NONE"PDRM memandang perkara ini dengan serius dan kita telah mengambil tindakan.

"Kita akui ada kelemahan yang perlu diperbaiki dan perkara ini sedang diteliti," katanya sambil menambah penubuhan Jabatan Integriti kelak akan membantu dalam usaha tersebut.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media sama berkata pihak kementerian sudah memberikan penjelasan kepada Jabatan Audit Negara berhubung kehilangan barangan tersebut.

Namun jelasnya, ia tidak sempat dimasukkan ke dalam laporan itu sewaktu ia dicetak.

"Laporan sudah diperjelas KDN yang mewakili PDRM.

"Ia telah dijelaskan tetapi tidak sempat dimasukkan ke dalam laporan yang dicetak," katanya.

Laporan Ketua Audit 2012 menyebut, barangan yang hilang itu direkodkan dalam tempoh 2010 hingga 2012, melibatkan kerugian berjumlah RM1.33 juta.

Khalid dan Ahmad Zahid ditemui pemberita selepas perasmian Persidangan dan Pameran Peralatan Umum Polis dan Peralatan Khas di Putrajaya pagi ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS