Keputusan Kementerian Kesihatan menggelar perokok sebagai golongan “bodoh” dalam bahan promosi kempen menyebabkan RM38,750 terbuang apabila bahan tersebut didapati tidak sesuai.
Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendapati kementerian tersebut membuat pesanan bagi 300 beg galas dengan kos RM19,500 dan 3,500 buku nota pada harga RM19,250 dengan slogan 'Smoking, a stupid habit for stupid people (Merokok, satu tabiat bodoh untuk orang bodoh)'.
Bahan tersebut bagaimanapun tidak diedarkan kerana bahasa yang digunakan itu dianggap tidak sesuai, menurut laporan berkenaan.
Tapi bukan itu sahaja, laporan itu menyebut sebanyak 63,000 kempen kementerian terbabit, berjumlah lebih RM31,200 juga mengandungi kesalahan ejaan.
Ketua Audit Negara menasihatkan kementerian tersebut untuk menggunakan bahasa lebih mudah dalam kempennya, dengan mengambil contoh satu kempen papan iklan bagi memerangi AIDS yang menggunakan terjemahan langsung dari bahasa Inggeris.
Laporan itu mendapati, terjemahan berkenaan – “Ke arah eliminasi transmisi vertikal” – sukar difahami dalam bahasa Melayu.
Menurut laporan itu lagi, penggunaan bahasa seperti itu menjejaskan keberkesanan kempen kesihatan tersebut.
Frasa yang dimaksudkan itu sepatutnya merujuk kepada jangkitan oleh ibu kepada anak.
Kementerian berkenaan dalam jawapannya menyebut, satu pasukan redaksi dilantik untuk memeriksa kesemua bahan kempennya dan akan turut mendapatkan nasihat Dewan Bahasa dan Pustaka.