Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Raihan Sulaiman menitis air mata seketika sewaktu bercakap kepada media selepas selesai menyerahkan borang pencalonan duntuk bertanding jawatan ketua Wanita Umno dalam pemilihan sayap itu bulan depan.

Raihan sebak kerana walaupun ayahnya pernah menyandang jawatan ketua penerangan Umno Malaysia, tetapi potret ayahnya langsung tidak terpampang di mana-mana tempat dalam ibupejabat Umno, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Saya sedih kerana saya datang dengan semangat bapa saya, walaupun gambar dia tak ada di sini," katanya kepada pemberita.

Sulaiman merupakan seorang tokoh Umno yang lantang dan pernah memegang jawatan naib ketua Pemuda Umno dan ketua Penerangan Umno.

Beliau pernah melakar sejarah dalam pemilihan Umno apabila mencabar Tun Hussein Onn untuk jawatan presiden Umno pada 1978.

Hussein mengekalkan jawatan dengan memperolehi 898 undi manakala Sulaiman mendapat 250 undi.

Bercakap lanjut, Raihan berkata beliau berazam untuk 'membersihkan' Wanita Umno.

"Saya datang untuk membersihkan Wanita Umno," katanya.

Bagaimanapun, apabila diminta menjelaskan perkara yang tidak 'bersih' dengan Wanita Umno, Raihan berkata "wartawan sepatutnya lebih tahu".

"Bagi saya, saya tak boleh kata setitik pun pada dia (Shahrizat).

"Beliau sudah banyak berjasa pada Umno," katanya.

Sebelum ini, Ahli majlis tertinggi Umno Datuk Azalina Othman membatalkan hasratnya untuk merebut jawatan ketua Wanita Umno yang kini disandang Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

 

 

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS