Pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga menafikan dakwaan setiausaha agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa gabungan NGO itu bertanggungjawab membawa masuk warga Bangladesh untuk mengundi di Putrajaya.
Ambiga yang ditemui pemberita di tribunal rakyat mengenai pilihan raya umum ke-13 berkata beliau terkejut dengan dakwaan yang “sangat melampau” oleh menteri wilayah persekutuan itu.
“Jika ia benar, maka kita mahu dia datang dan berkata demikian di depat tribunal ini. Kita tidak takut dengan komen seperti itu,” katanya.
Terdahulu, Tengku Adnan juga berkata beliau tidak akan menghadiri tribunal pilihan raya ke-13 yang dijalankan oleh BERSIH kerana badan itu sendiri sehingga kini masih tidak 'bersih'.
Dakwanya, beliau sendiri mengetahui bahawa BERSIH ada menghantar pendatang asing yang menyamar sebagai warganegara untuk mengundi di kawasan parlimen Putrajaya pada pilihan raya umum yang lepas.