Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata naib presiden PKR N Surendran sengaja mahu membangkitkan kemarahan orang Melayu apabila menganggap rancangan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera sebagai dasar “rasis” .
Khairy dalam satu laporan Utusan Malaysia hari ini menyebut, kenyataan Surendran itu keterlaluan kerana menunjukkan sikap seolah-olah tidak mengiktiraf kewujudan agensi yang menjaga kepentingan Melayu dan bumiputera.
“Kenyataannya keterlaluan. Dia seolah-olah tidak membenarkan kewujudan agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), dan TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga.
“Jika begini sikap PKR, tidak mustahil jika mereka berpeluang memerintah negara ini pasti agensi yang mengutamakan orang Melayu dan bumiputera dihapiskan demi kononnya mahu menyamaratakan dengan kaum lain,” katanya seperti dipetik akhbar tersebut.
Sementara itu, Sinar Harian hari ini melaporkan Khairy sebagai menyifatkan kenyataan Surendran yang juga ahli parlimen Padang Serai sebagai "biadab dan tidak sepatutnya keluar" daripada pemimpin parti politik di negara ini.
"Mana-mana pemimpin termasuk Surendran tidak boleh mempersoalkan pelan ekonomi tersebut. Apatah lagi, beliau mengaitkannya dengan undang-undang perlembagaan, ia tidak boleh diterimanya," katanya seperti yang dilapor akhbar itu.
Khairy turut mencabar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Surendran menarik semula kenyataannya sekiranya ia adalah kenyataan peribadi.
"Sekiranya kenyataan tersebut merupakan kenyataan parti, ia jelas menunjukkan parti pembangkang tidak mengiktiraf hak bumiputera.
"Kemungkinan juga berlaku pemansuhan institusi berkaitan bumiputera seandainya pembangkang memerintah negara," katanya yang juga ahli parlimen Rembau dipetik.