Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP: Kurang cukai kereta, baru naik harga minyak
Diterbitkan:  Sep 13, 2013 2:18 PM
Dikemaskini: 9:32 AM

Rakyat tidak boleh berkompromi apabila kerajaan BN menaikan harga minyak sedangkan mereka terpaksa membayar "lebih kurang sekali ganda" cukai kereta berbanding rakyat negara lain, kata ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli.

NONE Mengulas laporan akhbar The Edge berhubung harga kereta di Malaysia adalah kedua tertinggi di dunia, Rafizi menyifatkan perkara itu "tidaklah mengejutkan".

"Struktur cukai kereta yang melampau tingginya menyebabkan rakyat Malaysia terpaksa membayar harga lebih kurang satu kali ganda lebih mahal berbanding rakyat negara lain.

"Sebab itu rakyat tidak boleh berkompromi apabila Barisan Nasional menaikkan harga minyak kerana ia tidak adil di kala cukai yang dikenakan ke atas kereta adalah antara yang tertinggi di dunia," katanya.

Dalam kenyataannya hari ini, Rafizi berkata BN sering mengungkit kononnya rakyat tidak membayar harga pasaran bagi seliter petrol atau diesel sehingga dijadikan alasan menaikkan harga minyak.

Sebaliknya, katanya, BN tidak pula mahu menurunkan harga kereta supaya rakyat Malaysia juga membayar harga pasaran bagi sebuah kereta, seperti mana rakyat negara lain.

"Sebenarnya, sebuah isirumah purata rakyat Malaysia (keluarga berpendapatan bawah RM5,000 sebulan yang dianggarkan membentuk 70% dari keluarga Malaysia) membayar lebih banyak cukai dan tol berbanding jumlah subsidi minyak yang diperolehi.

"Secara purata sebuah isirumah menggunakan 300 liter petrol sebulan. Dengan subsidi sebanyak 63 sen setiap satu liter, ini bermakna sebuah isirumah menerima subsidi minyak sebanyak RM189 sebulan," katanya.

Rafizi berkata sebuah kereta berharga RM60,000 yang dibayar ansuran selama tujuh tahun duti eksais kereta dan bayaran faedah ke atas duti eksais kereta dianggarkan sebanyak RM3,565 setahun atau sekitar RM300 sebulan.

"Ini bermakna, Barisan Nasional mencukai rakyat Malaysia dalam bentuk duti eksais kereta sebanyak RM300 sebulan sedangkan subsidi minyak yang diterima hanyalah RM189 sahaja bagi setiap isirumah purata.

"Ini adalah ketidakadilan yang nyata dan jelas menindas rakyat. Lebih teruk apabila Barisan Nasional enggan pula mengakui hakikat bahawa ia mencukai rakyat lebih banyak dari subsidi minyak yang diuar-uarkan," katanya.

Sehubungan itu, Rafizi menegaskan beliau akan terus bersuara menentang sebarang usaha menaikkan harga minyak selagi harga kereta tidak diturunkan sekiranya BN mahu harga minyak mengikut pasaran dunia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS