Pemuda MCA menyelar kenyataan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh yang didakwa menyatakan keterbukaan kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka belajar ke luar negara jika tidak berpuas hati dengan sistem pendidikan Malaysia.
Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda MCA, Chong Sin Woon berkata kenyataan itu tidak menyelesaikan rasa tidak puas hati orang ramai dan hanya mewujudkan "rasa kurang senang" terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan Nasional (2013-2025).
Menurutnya, sebagai menteri pendidikan, Idris sebenarnya bertanggungjawab menjelaskan kandungan pelan tersebut.
Idris sepatutnya "berlapang dada terhadap pendapat khalayak tentang pelaksanaan pelan itu" dan bukannya menggesa mereka yang tidak gembira dengannya agar menghantar anak-anak mereka ke luar negeri, tambahnya.
"Pelan itu menerima lebih 55,000 komen daripada orang ramai termasuklah pakar-pakar dan pertubuhan bukan kerajaan.
"Maka, sebelum ia dilaksanakan secara rasmi, kerajaan perlu meyakinkan orang ramai mengenai kemampuan dan praktisnya.
"Malangnya, Idris memilih untuk membuat kenyataan bersifat menyerang sebegitu dan tidak mengendahkan hasrat orang ramai yang mahu terlibat dalam pembentukan dasar," kata Chong dalam kenyataannya.
Idris pada hari Selasa lalu dilaporkan sebagai berkata: "Kalau ada kata sistem tak baik dan nak hantar anak ke luar negara kita tak halang, tapi kita nak pastikan sistem kita bertambah baik".
Kenyataannya itu timbul susulan gesaan beberapa kumpulan pendidikan Cina yang tidak bersetuju dengan canfan penambahan 60 minit dalam pengajaran bahasa Melayu di sekolah vernakular.