Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) mengaktifkan tindakan kecemasan (ERP) kod merah akibat tumpahan diesel yang melibatkan hampir keseluruhan kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Operasi SYABAS Datuk Ir Lee Miang Koi berkata, gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku di Wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat ekoran tumpahan diesel yang dikesan pada muka sauk air mentah loji rawatan air itu.
"Sebagai tindakan segera, pihak SYABAS telah mengaktifkan ERP kod merah di Wilayah Wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat pada jam 3.00 petang, 30 Ogos 2013 (Jumaat) bagi memantau kawasan-kawasan yang terlibat dan membuat penghantaran bekalan air kecemasan kepada pengguna terkesan dari masa ke semasa," katanya.
Dalam kenyataannya, Lee berkata, SYABAS telah menggunakan semua sumber logistik yang ada bagi membekalkan bekalan air bantuan kepada pengguna terlibat.
Bagaimanapun, katanya, dia amat terhad dan bergantung kepada simpanan air terawat sedia ada di kolam imbangan keempat-empat loji rawatan dan kolam perkhidmatan SYABAS di setiap kawasan pengguna.
"Oleh yang demikian, pihak kami memohon bantuan dari pihak kerajaan negeri Selangor dan kerajaan persekutuan dalam menyediakan sumber logistik seperti lori tangki air dan tangki statik yang mencukupi dengan kadar segera bagi menghadapi gangguan bekalan air dalam skala besar seperti ini." katanya.
Setakat ini, seorang pengguna Facebook dikesan memuatkan gambar memaparkan keadaan tumpahan itu yang diambil pada jam 10.30 pagi ini.
Bagaimanapun, keasliannya belum dapat dapat dipastikan.
Lori tangki terbalik
Sementara itu, Bernama melaporkan, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia berpunca daripada insiden sebuah lori tangki diesel terbalik.
Menurutnya, muatannya melimpah dan mengalir ke dalam Sungai Selangor pada kejadian kira-kira pukul 8 pagi ini.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Kuala Lumpur, Mahdzir berkata proses pembersihan sedang dijalankan dan dijangka mengambil masa lama.
Sungai Selangor merupakan sumber bekalan air untuk dirawat oleh empat loji berkenaan sebelum disalurkan ke rumah pam dan kolam-kolam.
Mahdzir berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan membuka bilik operasi untuk membantu memberi maklumat secara berterusan kepada penduduk.
Sementara itu, SYABAS berkata pihak pengendali loji masih melakukan kerja-kerja pembersihan dan tempoh pemulihanan dijangka mengambil masa.
Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS, Priscilla Alfred, dalam kenyataan, berkata pihaknya akan memaklumkan perkembangan kejadian itu dari masa ke semasa.
1. Diesel tumpah, kecemasan kod merah di KL, S'gor | |
2. Tumpahan diesel di bawah kawalan , kata exco S'gor | |
3. Exco Selangor: 'Gangguan air, bukan krisis air' | |
4. SYABAS gerak semua sumber bantu pengguna |