Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kementerian Komunikasi dan Multimedia menolak permohonan sebuah kumpulan Singapura untuk mementaskan teater bertemakan kemerdekaan tiga negara - republik itu, Malaysia dan Indonesia - atas alasan dikhuatiri menyentuh sensitiviti masyarakat.

Kekhuatiran terhadap pementasan karya penggiat teater Atin Amat MERdEKAnya KITA oleh Teater Kami Limited itu terutamanya daripada aspek politik dan sosial.

NONE Menurut penerbitnya di Malaysia Rumah Anak Teater (RAT), mereka menerima surat yang memaklumkan perkara itu kelmarin - dua hari sebelum pementasannya yang dijadual bermula malam ini.

"Dukacitanya dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Pengambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-Puspal) Bil 35/2013 TIDAK DAPAT MEMPERPERTIMBANGKAN permohonan tuan," surat daripada Unit Keurusetiaan JK-Puspal kepada RAT dipetik.

Jurucakap RAT Faisal Mustaffa berkata, mereka juga dimaklumkan secara lisan bahawa pementasan itu mengancam keselamatan negara dan menggambarkan seolah-olah Singapura mahu memperkecilkan kemerdekaan Malaysia.

Katanya, tiga perkara dibangkitkan, iaitu babak pertama menyentuh soal kesultanan, dialog berhubung percukaian dan masalah poster persembahan.

'Saya rasa macam dibuli'

Kecewa dengan keputusan itu, Faisal mengaku rasa "dibuli" dan bimbang keputusan itu mengganggu hubungan baik Malaysia-Singapura memandangkan MERdEKAnya KITA ditaja oleh Majlis Seni Kebangsaan republik itu.

pkr weeklly pc 090807 faisal mustaffa "Saya habiskan sebulan setengah untuk teater ini. Saya hantar sinopsis, skrip penuh, biodata pengarah dan semua pelakon. Tebalnya macam Kamus Dewan . Berkali-kali naik turun pejabat.

"Tetapi akhirnya diharamkan. Saya rasa macam dibuli," kata Faisal ( kiri ) dalam sidang media selepas majlis pratontonnya di Petaling Jaya malam tadi.

Katanya, trend kawalan sebegitu sangat baru jika dibandingkan dengan situasi pada 2004 apabila teater yang dianggap lantang seperti Election Day masih dibenarkan dengan penukaran nama-nama tertentu.

Dalam teater itu, nama-nama seperti Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datuk Seri Wan Azizah Ismail masih dibenarkan disebut, tetapi ditukar kepada "bekas perdana menteri" dan " lady in the tudung" (perempuan bertudung).

"

Tetapi kali ini 100 peratus tolak," kata Faisal.

Pengarah titis air mata

Sementara itu, Atin walaupun bersikap positif tetap sebak dengan keputusan itu. Beliau malah menitiskan air mata ketika ditanya pemberita dalam sidang media sama.

NONE "Kami tidak berniat buruk. Ya, saya kecewa. Niat saya ikhlas. Kami terima dan tidak patah semangat.

"Kalau betul mengancam keselamatan negara, sudah tentu pementasan di Singapura dulu juga tidak dibenarkan. Di sana, undang-undang lebih tegas," katanya.

Mempertahankan teaternya itu, Atin berkata, beliau tidak mengalami masalah sama ketika dipentaskan di Singapura dan Indonesia sebelum ini.

RAT sudah merayu terhadap keputusan itu dan menurut Faisal keputusan yang diterima pada petang ini tetap ditolak.

Wang bayaran tiket yang telah dijual akan dipulangkan.

"Banyak," jawabnya ringkas ketika ditanya jumlah kerugian penganjur.

Teater kami ditubuhkan pada 1989 dan menjadi badan persembahan profesional sepenuhnya pada 1997.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi JK-Puspal berhubung keputusan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS