Wakil-wakil pembangkang hari ini menolak kadar faedah empat peratus bagi pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dalam pembentangan Rang Undang-undang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi bacaan kedua.
Ahli Parlimen Hulu Terengganu (PAS), Muhyidin Abdul Rashid, meminta kerajaan menghapuskan kadar bunga itu seperti yang dijalankan oleh kerajaan PAS Terengganu yang tidak mengenakan sebarang faedah ke atas pinjaman pendidikan dan perumahan.
Muhyiddin menolak cadangan daripada wakil Rompin (BN), Datuk Jamaluddin Jarjis yang menyarankan kadar itu dikurangkan kepada dua peratus.
Wakil Marang (PAS), Abdul Hadi Awang berkata, pendidikan percuma perlu kepada rakyat. Beliau memberikan contoh Arab Saudi dan Kuwait yang bukan sahaja memberikan biasiswa kepada warga negaranya tetapi juga warga asing tanpa sebarang syarat.
Dua anggota dewan ini diberikan masa dua minit seorang untuk membahaskan usul ini menjelang masa makan tengah hari.
Bagaimanapun, Setiausaha Parlimen Pendidikan, Datuk Dr Mahadzir Khir mempertahankan langkah kerajaan itu. Beliau berkata kadar itu bukan tujuan membebankan pelajar tetapi sebagai "kos pentadbiran."
"Sekiranya saya nak bincang tentang kadar faedah empat peratus ini, sampai bila pun tidak akan habis," kata Mahadzir lagi apabila isu tersebut semakin hangat dibahaskan.
Wakil Kota Melaka (DAP), Kerk Kim Hock, mendakwa sistem agihan pinjaman tersebut mengikut kuota perkauman dan bukan berasaskan kecemerlangan pelajar serta kemampuan keluarga. Gesaannya itu disokong oleh wakil Kubang Kerian (PAS), Husam Musa.
Usul itu yang dibentangkan pada Khamis lalu diluluskan hari ini.
Rang Undang-undang PTPTN (Pindaan) 2000 meminda Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566).
Pindaan itu bertujuan meluaskan taktif "institusi pengajian tinggi" bagi merangkumi politeknik yang ditubuhkan dan disenggarakan oleh menteri berkenaan di bawah Akta Pendidikan (1996) (Akta 566) dan mana-mana IPT di bawah akta yang sama.
Tabung Pendidikan Tinggi Nasional yang telah dilancarkan pada 1 November 1997 digunakan untuk menampung pinjaman 112,770 iaitu 83,222 (74 peratus) pelajar Bumiputera dan 29,557 (26 peratus) untuk pelajar bukan Bumiputera.
Daripada jumlah itu 78,802 golongan Bumiputera berada di IPTA dan 4,420 golongan Bumiputera berada di IPTS. Manakala 26,283 bukan Bumiputera yang berada di IPTA dan 3,274 golongan itu di IPTS.