Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan melihat keperluan untuk diwujudkan undang-undang bagi mewajibkan setiap premis dan bangunan kerajaan atau swasta mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang sambutan Bulan Kemerdekaan.
Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ini kerana masih banyak premis dan bangunan terutama milik swasta tidak peka akan kepentingannya sebagai melahirkan rasa menghargai dan kecintaan kepada negara.
"Sekarang ini kita masih belum sampai masa untuk mengenakan sebarang undang-undang kepada mana-mana premis atau bangunan kerajaan atau swasta... sekarang ini secara sukarela.
"Bagaimanapun, saya lihat masih banyak bangunan terutama milik swasta yang tidak memberi respon yang baik kerana masih banyak yang tidak berbuat demikian," katanya kepada pemberita pada program 'Pocket Show 2013' di Uptown Danau Kota di ibunegara malam tadi.
Turut hadir Ketua Setiuasaha kementerian Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman.
'Pocket Show' merupakan program mengedarkan Jalur Gemilang di sekitar ibu negara anjuran Jabatan Penerangan.
Di majlis itu, Ahmad Shabery menyerahkan Jalur Gemilang kepada pemimpin tempatan kawasan Wangsa Maju, wakil persatuan penduduk di sekitar Wangsa Maju dan Gombak, peniaga dan orang ramai di tempat tersebut.
- Bernama