Resorts World Genting yang melahirkan rasa dukacita dengan tragedi nahas bas di kawasan Genting Highlands, menyatakan bas terbabit ialah bas awam yang berulang alik setiap hari ke Jalan Tun Razak di ibunegara.
Menurut kenyataan syarikat itu malam ini, kemalangan bas itu berlaku kira-kira 3.5 kilometer dari puncak pusat peranginan itu.
Resorts World Genting juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan simpati kepada mangsa yang cedera dan menyatakan syarikat itu akan menghulurkan bantuan yang perlu.
Syarikat itu juga telah memberikan bantuan dengan menggerakkan 130 tenaga kerja termasuk doktor serta ambulans dan peralatan seperti kren dan makanan di tempat kejadian untuk membantu polis dari Bentong dan agensi penyelamat yang lain.
Menurut kenyataan itu, berikutan kemalangan itu, jalan turun dari Tokong Chin Swee Temple di Km2 hingga Km4.3 ditutup sementara kepada trafik.
Bagaimanapun, jalan utama menuju ke puncak pusat peranginan itu kekal dibuka dan trafik yang turun untuk ke Kuala Lumpur buat sementara dilencongkan di Tokong Chin Swee Temple.
Kemalangan di Km3.5 Jalan Genting Highlands itu meragut 37 nyawa termasuk pemandu bas apabila bas yang dinaiki 53 penumpang itu terjunam 60 meter ke dalam gaung semasa menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan itu ke ibu negara.
- Bernama