Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang berkenan melawat lokasi kemalangan bas ekspres di Genting Highlands malam ini melahirkan rasa dukacita terhadap nahas tragis yang mengorbankan 37 mangsa dan 16 penumpang cedera.
Baginda, yang tiba di lokasi kejadian sejak pukul 6.40 petang, bertitah bahawa baginda telah berbincang dengan pihak pengurusan Genting Highlands untuk menanggung perbelanjaan.
"Saya dah cakap dengan Genting Highlands (Kumpulan Genting), apa juga perbelanjaan yang dibuat hari ini akan ditanggung oleh Genting Highlands.
"Saya akan berjumpa dengan OCPD (Ketua Polis Daerah Bentong) untuk pendapat berkenaan dengan apa jua bentuk pertolongan yang diperlukan keluarga mangsa," titah baginda semasa ditemui pemberita.
Sultan Pahang yang kelihatan sebak berkata baginda mahu bersama rakyat untuk membantu dan memberi pertolongan tanpa mengira bangsa dan agama.
Kemalangan berlaku di KM3.5 Jalan Genting Highlands kira-kira pukul 2.45 petang ketika bas yang membawa 53 penumpang termasuk beberapa warga asing itu menuruni jalan curam dari puncak Genting Highlands menuju ke ibu negara.
- Bernama