Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
8 mangsa di Hospital Selayang stabil, mula dibedah malam ini
Diterbitkan:  Aug 21, 2013 11:55 PM
Dikemaskini: 4:29 PM

Kesemua lapan mangsa di Hospital Selayang yang cedera parah dalam kemalangan maut yang mengorbankan 37 nyawa di Genting Highlands kini dilaporkan stabil.

    

Pengarah Hospital Selayang Dr Siti Zaleha Mohd Salleh berkata kesemua mereka akan menjalani pembedahan bermula malam ini dan mungkin mengambil masa selama seminggu untuk menyelesaikan semua pembedahan.

"Tiga orang berada dalam keadaan kritikal manakala lima lagi semi kritikal namun kesemuanya kini stabil...semuanya sedang dalam proses untuk dimasukkan ke wad masing-masing," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Selayang malam ini.

    

Beliau berkata seorang daripada mangsa ialah Rashidah Buyah, 50, pelancong dari Bangladesh dan dua anaknya Raawnok Arefin, 14, dan Rezyan Arefin, 24.

    

"Mangsa empat beranak namun seorang lagi anaknya dihantar ke hospital lain dan mangsa juga telah memaklumkan kejadian tersebut kepada seorang lagi anaknya di Kanada.

     

"Manakala mangsa yang lain juga telah dikenal pasti oleh keluarga masing-masing," katanya.

    

Seramai lapan mangsa dimasukkan ke Hospital Selayang iaitu tiga warga tempatan, dua Indonesia dan tiga Bangladesh.

Sementara itu, keresahan dan kebimbangan jelas tergambar pada raut wajah mereka yang memenuhi pekarangan beberapa hospital yang merawat mangsa kemalangan bas di Genting Highlands.

Masing-masing menunggu pengesahan sama ada anggota keluarga mereka turut terbabit dalam nahas yang meragut 37 nyawa itu.

   

"Saya cuba hubungi telefon bimbit ayah namun tiada jawapan, malah pekerja di tempat kerjanya juga tidak tahu dia di mana...saya tidak tahu sama ada dia berada di dalam bas itu atau tidak...sehingga kini belum dengar khabar berita," kata Faisal Mohd Rashid kepada Bernama ketika di temui di Hospital Selayang.

   

Faisal, 24, sedang mengesan ayahnya Mohd Rashid Hantan, 61, yang bekerja sebagai penolong pengurus Keselamatan di Genting Highlands.

   

Katanya kebimbangan beliau itu disebabkan kelaziman ayahnya yang sudah 35 tahun bekerja di Genting Highlands, menaiki bas berwarna kuning untuk pulang ke rumah mereka di Greenwood, Gombak.

"Ibu, Noraini Muid, 51, yang mengajar sesi petang di sebuah sekolah yang memaklumkan kepada saya mengenai berita bas ini sebelum saya bergegas ke sini... saya pasrah jika apapun yang terjadi, namun saya berdoa ayah selamat," katanya.

   

Anak kedua daripada enam beradik itu berkata ayahnya bertugas dari jam 6 pagi hingga 2 petang hari ini dan sepatutnya tiba di rumah antara pukul 3 atau 4 petang tadi, selepas tidak pulang ke rumah semalam kerana bertugas syif petang.

   

Sementara itu, seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Teoh, 45, berkata beliau sedang menunggu pengesahan sama ada rakan wanitanya antara mangsa kemalangan berkenaan.

   

"Kawan saya pergi ke Genting (Highlands) untuk berjumpa  dengan rakannya dan saya tidak pasti dia menaiki bas ini atau tidak...bagaimanapun saya akan terus tunggu di sini hingga tahu jawapan," kata jurulatih kesihatan di Seri Petaling itu.

   

Ahmad Shahuddin, 53, pula berkata beliau sedang menunggu berita sama ada anak perempuannya Nur Maizatul Syazanah dirawat di hospital itu.

   

"Saya tidak sempat menjawab panggilan daripada Nur Maizatul sebelum kejadian dan ketika saya hubunginya kembali, dia memaklumkan yang dia patah kaki sebelum panggilan itu terputus.

   

"Saya kemudian bergegas ke hospital ini tetapi saya tidak pasti anak saya itu dikejarkan ke hospital yang mana kerana hingga kini belum menerima sebarang berita," katanya.

   

Ahmad berkata anaknya yang bekerja sebagai kerani itu ke Genting Highlands untuk bercuti.

- Bernama

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS