Baru dua hari lalu, anak-anak muda khususnya mahasiswa di institut pengajian tinggi digemparkan dengan kenyataan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh untuk melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) bagi peminjam PTPTN yang disifatkan ingkar menunaikan pembayaran balik pinjaman tersebut.
Jika diteliti, ia bukanlah jalan penyelesaian yang bersifat holistik bahkan ia jelas membuktikan kegagalan kerajaan dalam memahami dan meletakkan kepentingan rakyat khususnya generasi muda sebagai keutamaan dalam isu ini.
Sekiranya tindakan seperti ini diambil, ia sekadar memperlihatkan kelemahan kerajaan sendiri dari memahami keseluruhan punca dan kesan permasalahan yang dihadapi generasi muda Malaysia hari ini.
Ramai graduan kita yang menghadapi kesukaran mendapatkan peluang pekerjaan yang terhad bahkan jumlah gaji diperolehi yang sama sekali tidak mampu untuk menampung kos sara hidup yang semakin hari kian meningkat adalah perkara yang lebih utama diberikan perhatian oleh pihak kerajaan untuk diselesaikan.
Statistik menunjukkan sehingga Mei 2013, kadar pengangguran mencecah 3.3% dan jumlah rakyat Malaysia yang berkerja di luar negara (brain drain) mencecah angka 700,000. Ia sudah cukup menjadi bukti jelas bahawa isu kesempitan rakyat untuk menampung kos sara hidup adalah berada pada tahap kritikal.
Statistik terdahulu dikeluarkan Bank Negara Malaysia pada November 2010 juga telah menunjukkan bahawa hutang isi rumah telah mencecah RM577 bilion pada ketika itu yang membawa kepada angka 74% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meliputi hutang kenderaan, peribadi dan juga perumahan.
Dengan pelaksanaan CCRIS ini, ia akan menambah lagi kesulitan serta kesempitan sedia ada khususnya dari kalangan generasi muda yang baru bergraduasi. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Datuk Seri Idris Jusoh perlu sedar. Pasca pilihan raya umum ke-13 ini rakyat sudah semakin matang dan terbuka dalam membicarakan isu berhubung pendidikan percuma yang sewajarnya diberikan kepada anak-anak di negara ini.
Mengenakan tekanan menerusi pelaksanaan CCRIS; dalam keadaan PTPTN itu sendiripun sudah dilihat bercanggah dalam wacana baru pelaksanaan sistem pendidikan di Malaysia, merupakan satu langkah yang tidak tepat sama sekali.
Justeru, cadangan tidak bijak Datuk Seri Idris Jusoh ini hanyalah sekadar akan menyaksikan lebih ramai golongan muda di negara ini menjadi warga yang merempat di bumi sendiri.
Sheikh Omar Ali adalah exco Dewan Pemuda PAS Johor dan bekas pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) sesi 07/08