Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mengulangi janjinya untuk mencapai keseimbangan dalam usaha melindungi hak asasi manusia dan kepentingan awam bagi mengurangi kadar jenayah.
Beliau mengulas kenyataan bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad pada Khamis lalu berhubung "harga yang perlu dibayar" daripada penghapusan undang-undang pencegahan.
Katanya, kerajaan sedang meneliti agar hak asasi manusia tidak dicabuli dalam usaha untuk melindungi kepentingan dan ketenteraman awam.
"Perlu ada keseimbangan," kata Najib dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Tambahnya, kerajaan juga masih belum memutuskan sekiranya akan mengembalikan undang-undang yang membolehkan pihak berkuasa menahan suspek bagi mencegah jenayah.
Kerajaan juga masih berbelah bagi sama ada undang-undang pencegahan tersebut boleh diterima, katanya.
"Belum lagi. Kita tidak membuat apa-apa keputusan muktamad. Kita mahu melihat sama ada undang-undang sedia ada sudah memadai. Pada masa ini kita mempunyai perbincangan yang sangat intensif.
"Satu-satunya masalah dalam undang-undang pencegahan ialah, jenayah itu tidak dilakukan lagi. Bagaimana anda boleh menangkap seseorang jika orang itu tidak melakukan jenayah?
"Jika disebabkan syak wasangka semata-mata, adakah ia alasan yang mencukupi bagi asas undang-undang pencegahan?
"Jadi, ini perbahasan yang kita adakan pada masa ini,” katanya ketika ditanya.
"Rakyat perlu sedar bahawa kita mengambil berat untuk menurunkan kadar jenayah. Kita juga mengambil berat tentang penyalahgunaan hak asasi manusia di negara ini," katanya.