DAP menyeru perdana menteri memanggil segera sidang khas Parlimen untuk mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai di Mesir dan mengambil pendirian yang tegas menuntut Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu bertindak mengembalikan keamanan di Mesir.
Sehubungan itu, DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim tentera Mesir pimpinan Jeneral Abdul Fatah As-Sisi ke atas ratusan penyokong Presiden Morsi dalam tempoh 48 jam yang lalu.
"Kekerasan melampau yang diambil oleh rejim tentera tersebut ke atas rakyatnya sendiri merupakan satu tindakan kekejaman yang tidak berperikemanusian.
"Masyarakat antarabangsa perlu bersolidariti bersama rakyat Mesir dan menuntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengambil apa sahaja tindakan yang sepatutnya untuk mengembalikan keamanan di Mesir," kata Ketua Whip DAP dan Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru itu, tambahnya DAP menyeru Datuk Seri Najib Tun Razak memanggil segera satu sidang khas tergempar Parlimen pada awal minggu depan supaya Parlimen Malaysia mengambil satu ketetapan mewakili suara seluruh rakyat Malaysia untuk mengutuk kekejaman tidak berperikemanusian yang sedang berlaku di Mesir.
"Parlimen Malaysia juga seharusnya mengambil satu ketetapan supaya Kerajaan Malaysia menuntut Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu segera bersidang untuk mengambil tindakan tegas ke atas rejim tentera Mesir untuk memberhentikan kekejaman mereka.
"Parlimen Malaysia pernah mengadakan sidang khas pada 12 Januari 2009 untuk mengutuk kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza. Dalam sidang khas tersebut, Pakatan Rakyat telah memberikan sokongan penuh kepada usul yang dibawa oleh Kerajaan untuk membuktikan pendirian tegas rakyat Malaysia yang cintakan keamanan," tambahnya.
Loke yakin Pakatan Rakyat akan sekali lagi menyokong penuh sekiranya perdana menteri memanggil sidang khas Parlimen dan mengemukakan usul untuk mengutuk rejim tentera Mesir.
"Saya berharap Datuk Seri Najib akan mengambil peluang ini untuk membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia akan bersatu-padu dalam usaha menuntut keamanan dunia dan isu kemanusian walaupun kita mempunyai perbezaan politik dalam negara.
"DAP juga menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untut turut serta dalam Himpunan Munajat Perdana 100k di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada petang esok yang dianjurkan oleh PAS bagi menunjukkan solidariti bahawa isu keamanan sejagat dan hak asasi manusia menjangkaui batasan kaum, agama dan fahaman politik dan perlu dipertahankan oleh seluruh umat manusia.
"Saya dan pemimpin-pemimpin DAP yang lain akan turut menyertai himpunan tersebut," tambahnya.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berkata perhimpunan ini akan diadakan esok mulai jam 4 petang.
"Lokasinya pula adalah di Dataran Merdeka, pusat ibu kota di negara ini dan simbolik pula kenangan kepada Dataran Rabiah Adawiyah yang mengorbankan ribuan syuhada’ bagi menuntut sebuah keadilan," kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.
Katanya, ini adalah reaksi spontan Pemuda PAS mewakili PAS, Pakatan Rakyat serta NGO-NGO Islam keseluruhannya melihat situasi terburuk di Medan Rabiah Adawiyah semalam.
"PAS yang hanya menjadi sebuah parti politik tidak memiliki keupayaan yang lebih selain mengadakan himpunan mengutuk kekejaman tersebut serta berdoa untuk umat Islam di sana.
"PAS tidak berdiam diri melihat darah dan air mata saudara se-Islamnya tumpah ke tanah. Kematian syuhada’ Mesir ditangisi dengan himpunan kemarahan umat Islam di negara ini serta di seluruh dunia.
"PAS dan rakyat memainkan peranannya, setidak-tidaknya doa inilah yang dikirimkan kepada pejuang ikhlas mujahidin di Mesir agar mereka tabah dan teguh menghadapi ujian seberat ini," tegasnya.