Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Fenomena pancuran meteor Perseid daripada buruj Perseus dijangka dapat dilihat di ruang angkasa negara ini malam esok sehingga subuh pada hari Selasa.

Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara (Angkasa) Mhd Fairos Asillam berkata pancuran meteor Perseid antara paling menarik kerana cahayanya terang dan boleh dilihat dengan mata kasar di kawasan lapang.   

"Pancuran meteor berlaku apabila bumi melintasi laluan komet dan menyebabkan debu-debu komet ini terbakar apabila memasuki atmosfera bumi.

"Bagi pancuran meteor Perseid, ia berlaku kerana bumi melintasi laluan komet Swift-Tuttle yang mempunyai diameter nukleus lebih kurang 26 kilometer," katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur hari ini.  

Beliau berkata apabila komet itu semakin menghampiri matahari, ia juga turut melintasi orbit bumi dan meninggalkan debu-debu komet sepanjang perjalanannya.

"Debu-debu inilah yang akan memasuki atmosfera bumi dan menghasilkan pancuran meteor yang dapat dilihat dengan mata kasar," katanya.

Beliau berkata waktu terbaik menyaksikan hujan meteor itu ialah selepas bulan terbenam bermula 11 malam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS