Bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat pembekalan makanan dan bekas pengarahnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan dana syarikat itu berjumlah lebih RM30 juta.
Datuk Sarchu Sawal, yang ketika itu ketua pegawai eksekutif KPF Quality Foods Sdn Bhd dan Datuk Tan Han Kook, yang ketika itu pengarah KPF Quality, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin.
Mengikut pertuduhan, Sarchu, 64, didakwa melakukan pecah amanah ke atas dana syarikat berjumlah RM16,963,825 melalui 27 keping Penerimaan Jurubank (B/A) di Tingkat 2, Blok B Anjung Felda, Jalan Maktab di Kuala Lumpur antara Ogos 2011 dan Februari 2012.
Tan, 59, pula yang ketika itu anggota lembaga pengarah syarikat, didakwa melakukan perbuatan sama ke atas dana syarikat berjumlah RM13,164,955 melalui 20 keping B/A pada tempat dan masa yang sama.
Kedua-dua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Azlin Sabtu daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan jaminan RM2 juta dengan dua penjamin selain memerlukan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dengan alasan kesalahan yang dilakukan serius dan melibatkan jumlah yang besar.
Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Sarchu memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM50,000 kerana anak guamnya memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang siasatan dilakukan.
"Sarchu hadir ke mahkamah secara sukarela dan mempunyai rekod bersih sebelum ini," katanya sambil menambah anak guamnya itu merupakan seorang pesara dan mempunyai dua orang anak yang masih belum berkahwin.
Harvinderjit Singh yang turut mewakili Tan memohon mahkamah mengurangkan jaminan itu kerana anak guamnya pernah diikat jamin RM800,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didakwa atas 134 pertuduhan menipu.
"Kes itu masih dalam proses perbicaraan dan sejak kesnya dibicarakan selama lima hari, tertuduh tidak pernah tidak hadir ke mahkamah," katanya yang menjelaskan bahawa anak guamnya itu diisytiharkan bankrup dan tidak bekerja.
Bagaimanapun, Azlin berkata jumlah yang dipohon peguam bela adalah tidak wajar kerana kesalahan yang dilakukan Tan berbeza dengan kesalahan lampau.
Rosbiahanin membenarkan Sarchu dan Tan, masing-masing diikat jamin RM2 juta dan RM1 juta dengan dua penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwa.
Mahkamah turut menetapkan 13 September ini untuk sebutan kes.
KPF Quality merupakan anak syarikat Felda.
Pada 7 Disember tahun lepas, Tan mengaku tidak bersalah terhadap 134 pertuduhan menipu pegawai bank, membabitkan lebih RM60 juta.
- Bernama