Menantu kepada presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa wujudnya usaha dalam parti itu untuk menjatuhkan bapa mertuanya sebagai pemimpin nombor satu parti Islam itu.
Zaharudin Muhammad ( kanan ) yang juga ahli Majlis Syura Ulama PAS berkata, beliau berkata terdapat saksi bagi mengesahkan dakwaan yang didakwa bermula sebelum pilihan raya umum (PRU) 2008 itu.
"Semua bukti dalam bentuk saksi ada dalam tangan saya jika diperlukan," katanya sambil turut menepis dakwaan beliau mempengaruhi Hadi, antaranya ketika proses mengeluarkan watikah calon secara kontroversi di Kota Damansara dalam PRU lalu.
"Ini bermaksud, bukan saya punca sebenarnya (di Kota Damansara) dan bukan juga TG presiden, tetapi isu sebenar ialah usaha mengambil alih jawatan presiden. Itu blind spot nya (titik butanya)."
Pada 27 Julai lalu, memetik sumber PAS Selangor, sebuah portal berita melaporkan Zaharudin mempengaruhi Hadi menandatangani watikah kepada Rizuan Ismail untuk bertanding di Kota Damansara sehingga menyebabkan pertandingan tiga penjuru dengan PSM (yang menggunakan lambang PKR) dan BN.
Menulis di Facebook-nya semalam, Zaharudin bagaimanapun tidak menyebut secara khusus pihak yang didakwa mahu menjatuhkan Hadi, sebaliknya hanya merujuknya sebagai "kumpulan kecil".
Zaharudin tidak menjelaskan bentuk usaha menjatuhkan Hadi yang juga anggota Parlimen Marang.
Menurut juga menjelaskan beliau "terpaksa menjadi team back-up mempertahankan parti itu dan bukan mempertahankan bapa mertua atau sebaliknya."