ULASAN Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengutuk kekejaman yang dilakukan pihak tentera Mesir ke atas peserta demonstrasi aman yang telah mengorbankan 200 peserta dan mencederakan 4,500 yang lain pada waktu Subuh, 27 Julai lalu.
Keadaan yang amat membimbangkan ini dikhuatiri akan berlanjutan kerana amaran yang diberikan pihak tentera kepada peserta demonstrasi aman, sama ada pulang ke rumah, atau hadapi kekerasan tentera.
Mesir sedang melalui suatu pencabulan terhadap prinsip demokrasi pilihan raya dan keadaan yang membimbangkan ini juga dikhuatiri mematikan semangat dan tuntutan asal revolusi 25 Januari lepas.
Melihat keadaan semasa, penyokong kuat Dr Mursi tidak akan berganjak dari Medan Rabaah, melainkan tentera mengembalikan Dr Mursi ke jawatan asalnya.
Pada 30 Julai (kelmarin), diadakan "Himpunan Jutaan Syuhada", perarakan besar-besaran bagi mengutuk kekejaman tentera dan mengembalikan Dr Mursi.
Mereka juga akan mengadakan perarakan dan himpunan secara aman ke semua ibu pejabat polis di wilayah-wilayah selepas solat tarawih.
Ia bagi menyatakan bantahan kepada tindakan polis melepaskan tembakan sesuka hati kepada rakyat yang keluar secara aman.
Dalam keadaan ini, masyarakat dunia harus terus dididik dengan situasi semasa yang berlaku di Mesir, bahawa, rampasan kuasa tidak pernah menjanjikan suatu harapan yang baik buat masa depan politik negara.
Hantar wakil OIC
Tekanan harus diteruskan, melalui demonstrasi aman, menghantar memo bantahan rasmi berhubung apa yang berlaku. Dan melakukan ketegasan dari sudut diplomatik dengan tidak mengiktiraf kerajaan Mesir yang dibentuk sekarang (kerajaan perampas kuasa pimpinan Jeneral as-Sisi).
Tekanan yang paling kuat harus datang dari Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU), dengan menggunakan senjata paling ampuh, iaitu dengan membatalkan bantuan ketenteraan dan tidak mengiktiraf kerajaan sementara sehingga Dr Mursi dan beberapa pimpinan Ikhwanul Muslimin dibebaskan.
EU mengambil langkah ke hadapan dengan menghantar wakil mereka, ketua hal ehwal tertingi politiknya Cathrine Ashton bertemu dengan Presiden Mursi untuk meninjau lebih dekat kemelut politik Mesir.
Seharusnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) turut melakukan perkara yang sama dalam kadar segera dengan menghantar pemerhati atau wakil mereka untuk memantau situasi semasa.
Tentera harus membebaskan Presiden Mesir yang sah, Dr Mursi dan beberapa pimpinan kanan Ikhwanul Muslimin secepat mungkin dan menghentikan segera operasi pembunuhan dan penangkapan politik bagi meredakan kemarahan rakyat di Dataran Rabaah.
Tentera seharusnya menyahut seruan ini kerana terbukti himpunan dilangsungkan secara aman. Ini juga suatu janji daripada pihak demonstran.
Kembalikan Perlembagaan 2012
Selepas pembebasannya, Dr Mursi perlu menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada sebuah kerajaan sementara yang baru berdasarkan perlembagaan Mesir pindaan 2012.
Kerajaan sementara perlu membincangkan perihal pilihan raya parlimen. Selepas pilihan raya, kerajaan baru akan mengadakan pilihan raya presiden berdasarkan perlembagaan.
ABIM suka menegaskan bahawa pilihan raya ini tidak seharusnya dikendalikan oleh pihak tentera yang merampas kuasa.
Pakar perlembagaan Dr Toriq Bishri berkata, waktu ini tidak ada penyelesaian lain kecuali mengembalikan perlembagaan 2012 yang digantung oleh tentera pada 3 Julai yang lalu.
Seorang lagi tokoh pemikir Islam, Dr Mohammed 'Imarah yang turut serta dalam cadangan ini berkata, musibah besar bagi tentera Mesir kerana sibuk di lapangan politik berbeza dengan negara-negara maju yang lain.
"Anda tahu kenapa Mesir ini mundur, faktornya kerana tentera suka melibatkan diri dalam pertembungan politik."
Rakyat Mesir dari pelbagai aliran politik dan ideologi harus memberikan kerjasama penuh terhadap situasi ini, kerana kesatuan rakyat akan memberi jaminan terhadap transisi demokrasi yang berkesan.
Perkara yang paling penting ialah menyelamatkan masa depan politik dan sistem demokrasi Mesir serta mengelakkan pertumpahan darah yang berterusan.
Justeru ABIM tegas mendesak tentera membebaskan Dr Mursi dan mengembalikan jawatan beliau dengan serta merta bagi membolehkan beliau mengadakan pilihan raya segera dan bukan bawah kendalian tentera.
JUFITRI JOHA naib presiden (antarabangsa) ABIM.