Ketua Wanita Umno Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Jalil digesa berundur daripada jawatannya dan tidak menggunakan alasan 'perlawanan emak dan anak' bagi menghalang cabaran bekas ketua Puteri Umno Datuk Azalina Othman Said.
Bekas setiausaha wanita Umno Malaysia, Datuk Faridah Abu Hassan berkata Shahrizat dahulu juga mencabar Datuk Seri Rafidah Aziz untuk jawatan itu walaupun didakwa pernah bersumpah atas nama Allah untuk tidak berbuat demikian.
"Jadi sekarang ini, kenapa pula dia nak kata Azalina jangan bertanding?
"Shahrizat tak boleh sekat mana-mana pihak untuk bertanding dan pertandingan tidak memecahbelahkan perpaduan wanita," katanya sewaktu mengulas perkembangan terkini pergerakan itu menjelang pemilihan parti hujung tahun ini.
Beliau ditemui selepas mesyuarat agung tahunan Umno cawangan Jalan Foss yang diketuainya di Kuala Lumpur malam tadi.
Bercakap lanjut, Faridah turut menggariskan dua sebab Shahrizat perlu berundur pada pemilihan kelak - prestasi Wanita Umno mutakhir ini dan skandal pinjaman RM250 juta National Feedlot Corporation (NFC).
Jelasnya Shahrizat kerap melaungkan tentang keperluan kabinet diisi oleh 30 peratus kaum wanita namun, selepas pilihan raya lalu hanya seorang sahaja exco wanita Umno terpilih menganggotai jemaah menteri.
"Pengundurannya perlu (dilakukan) supaya PRU nanti kita boleh ambil hati orang muda untuk menyokong BN kembali.
"Kalau Shahrizat melaungkan 30 peratus (perwakilan), tolong namakan pada saya bilangan wanita Umno yang jadi anggota parlimen.
"Sekarang ini di kalangan exco yang jadi anggota parlimen cuma satu iaitu (MP Beaufort) Datuk Azizah Mohd Dun.
"Datuk Noriah Kasnon (MP Sungai Besar) bukan exco Wanita, Datuk Halimah Sadique (MP Tenggara) bukan exco Wanita Umno," katanya.
Shahrizat juga, kata Faridah tidak wajar menggunakan alasan beliau tiada kaitan dengan skandal NFC.
Beliau sendiri mendakwa menerima SMS agar mengerahkan Wanita Umno ke mahkamah untuk menyokong Shahrizat setiap kali perbicaraan NFC berlangsung.
Beliau juga tidak yakin Shahrizat akan terus kekal popular dalam pergerakan itu memandangkan Shahrizat kini bukan lagi menteri mahu pun pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK)
"Melalui majlis itu dia boleh beri program kepada wanita di setiap bahagian, dalam setahun adalah dalam RM50 ke RM60,000.
"Jadi sekarang ini dia tak jadi menteri lagi, dia tak jadi pengerusi MPWK lagi, apa lagi yang dia boleh sumbang kepada wanita?
"Tak ada apa-apa," kata Faridah yang menjadi exco Wanita sewaktu ia diketuai Rafidah Aziz.
1. Shahrizat: Sila masuk gelanggang, saya persilakan
2. Azalina akan cabar Shahrizat untuk jawatan Ketua Wanita