Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan penulis blog seks Alvin Tan dan pasangannya Vivian Lee dibebaskan dengan jaminan RM30,000.
Ibu kepada Alvin dan seorang saudara mereka menandatangani bon jaminan untuk kedua-dua tertuduh.
Tan, 25, yang disapa pemberita selepas dibebaskan itu kelihatan masih mampu tersenyum selepas lapan hari ditahan namun Lee, 24, mengelak apabila wajahnya cuba dirakam oleh para jurugambar yang menghurungnya di luar mahkamah.
"(Keadaannya) boleh tahan," kata Tan ringkas sambil tersenyum kepada pemberita ketika ditanya mengenai keadaannya di dalam penjara di perkarangan Mahkamah Tinggi Jalan Duta hari ini.
Tan bersama Lee tiba di pejabat pendaftaran jenayah mahkamah pada jam 10 pagi hari ini bagi proses jaminan sebelum dilepaskan, dan seterusnya beredar dengan dua kenderaan berasingan.
Mahkamah Tinggi semalam membenarkan setiap tertuduh berkenaan diikat jamin RM30,000 dengan dua orang penjamin.
Hakim Datuk Mohd Azman Husin, yang membenarkan ikat jamin itu bagaimanapun mengenakan tiga syarat ketat, termasuk pasport mereka harus disimpan di mahkamah.
Mahkamah juga menetapkan mereka berdua tidak boleh muat naik dan menggunakan alat peranti komunikasi perangkaian (smartphone) untuk memasukkan komen atau artikel yg menyentuh hal agama dan sensitiviti kaum.
Dalam kamar, hakim juga menetapkan bahawa kedua duanya diminta hadir lapor diri di balai polis terdekat pada setiap 1 haribulan.
Pada 18 Julai lalu, Alvin Tan dan Vivian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan berhubung tindakan mereka mempersendakan umat Islam dan Ramadan alam Facebook serta mempamerkan gambar-gambar lucah dalam blog mereka.
Mereka kemudiannya memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Sesyen tidak membenarkan mereka diikat jamin terhadap tuduhan tersebut.
Mahkamah Tinggi semalam membenarkan permohonan semakan kehakiman itu, dan membenarkan mereka diikat jamin dengan dua penjamin.
Berita berkaitan
1. Alvivi dibenarkan ikat jamin RM30,000 tiap seorang
2. IGP bertegas penculikan satu tindak balas terhadap Alvivi
3. Alvivi mohon semakan keputusan tak benar ikatjamin
4. Tiada ikat jamin Alvivi 'keterlaluan', kata peguam
5. AG jelas sebab Alvin, Vivian tak dibenar ikatjamin
6. 'Kenyataan Ibrahim Ali berbeza dengan tindakan Alvivi'
7. Alvin, Vivian didakwa hari ini, tak dibenar ikatjamin
8. Alvin dan Vivian akan hadir di Bukit Aman