Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis akan siasat kes sebar gambar murid makan
Diterbitkan:  Jul 25, 2013 4:42 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A Thaiveegan memberi amaran untuk mengenakan tindakan mengikut Akta Hasutan ke atas individu yang menyebar gambar menunjukkan murid bukan Islam makan di bilik persalinan SK Seri Pristana.

Thaiveegan dalam satu laporan Utusan Online berkata, penyebaran gambar berkenaan “boleh menimbulkan isu provokatif dan perbalahan kaum”.

"Polis tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan kepada pihak yang menyebarkan maklumat berbaur hasutan di laman sosial berkenaan isu yang membabitkan sekolah berkenaan," katanya seperti dipetik laman tersebut.

Gambar yang berlegar di Facebook itu dilaporkan mencetus kontroversi di kalangan pengguna Internet

Beberapa keping gambar di Facebook yang didakwa memaparkan murid bukan Muslim makan di kawasan bilik air di sebuah sekolah sewaktu bulan puasa mencetuskan kontroversi di kalangan pengguna Internet pada hari Selasa lalu.

Gambar itu dikesan dimuatkan oleh ibu bapa kepada pelajar sekolah terbabit, yang terletak berhampiran Sungai Buloh.

Ia menunjukkan pelajar duduk di meja makan yang terletak dalam kawasan bilik persalinan sekolah tersebut.

Timbalan menteri pendidikan II P Kamalanathan yang meninjau kawasan tersebut keesokan harinya bagaimanapun berkata, tindakan berkenaan tidak melibatkan soal agama atau kaum.

Kamalanathan yang berkata, ia hanya melibatkan lokasi kantin sementara tersebut, yang digunakan sejak Mac tahun ini.

Laporan awal mendakwa hanya pelajar bukan Islam dipaksa makan di kantin sementara tersebut pada bulan Ramadan.

Katanya, ia berlaku memandangkan kerja-kerja menaiktaraf kantin tersebut bermula antara seminggu hingga dua minggu lalu.

Kamalanathan juga berkata Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah tersebut juga maklum mengenai kantin sementara tersebut sejak Mac kerana ia dibincangkan dalam satu mesyuarat sebelum ia dilaksanakan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS