Pihak berkuasa penjara telah menyediakan barangan yang diperlukan oleh pemimpin Hindraf P Uthayakumar bagi mengurangkan sakit belakangnya yang teruk tetapi didakwa mengugut untuk menempatkannya dalam "bilik gelap" jika dia mengadu lagi, dakwa isterinya S Indra Devi.
"Dia telah diberikan bantal Khamis lepas dan sebuah kerusi pada hari Isnin.
"Tetapi mereka berkata, jika dia mengadu lagi, mereka akan menempatkannya di dalam bilik gelap dan mengambil haknya untuk bertelefon," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
Indra dibenarkan untuk bercakap dengan suaminya di Penjara Kajang, selama 15 minit setiap hari Rabu.
Walaupun barangan tersebut disediakan kepada Uthayakumar, Indra berkata proplapsed disc yang dialami suaminya itu masih belum ditangani dengan sepatutnya.
"Beliau telah dibawa ke klinik penjara tetapi doktor berkata beliau tidak ada kuasa untuk merujuk Uthayakumar ke hospital.
"Uthayakumar semakin sakit dan dia memberitahu saya kakinya bengkak sekarang. Saya hanya mahu dia dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk temujanji rawatan proplapsed disc pada 1 Ogos, "katanya.
Ahad lalu, Indra telah menyuarakan kebimbangan bahawa Uthayakumar boleh lumpuh jika prolapsed disc itu tidak dirawat dengan betul oleh doktornya.
Indra juga mengadu bahawa nota Uthayakumar kepada peguamnya untuk penghujahan dalam kes hasutan terhadapnya telah dirampas.
"Nota tersebut sangat penting kerana dia perlu membuat persediaan untuk kes hasutan terhadapnya itu," kata beliau.
Pada 5 Jun lalu, Uthayakumar dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun enam bulan berhubung kenyataannya mengenai diskriminasi terhadap masyarakat India, dan dihantar ke Penjara Kajang.
Sebelum ini, beliau juga telah ditahan selama satu setengah tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atas sebab-sebab yang sama.
Peguam Utahayakumar, M Manoharan, berkata beliau merancang untuk merayu terhadap hukuman tersebut.