Gabungan NGO BERSIH mengundang Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menyertai satu tribunal antarabangsa anjurannya untuk meneliti jika berlaku sebarang pelanggaran terhadap norma dan undang-undang dalam pilihan raya umum 5 Mei.
Pengerusi bersama BERSIH Datuk Ambiga Sreenevasan sewaktu mengumumkan perkara itu dalam sidang media pagi tadi berkata, parti politik dan orang awam juga dijemput menyertai tribunal yang akan berlangsung dari 18 hingga 22 September 2013.
"Pengadilan ini akan meneliti jika ada tindakan semasa pilihan raya itu telah melanggar undang-undang dan piawai antarabangsa dan norma yang menggarisi perjalanan pilihan raya," kata Ambiga.
Pengadilan tersebut akan mengikut piawai dan garis panduan oleh mengenai pilihan raya bersih dan adil yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), katanya.
Ahli jawatankuasa penganjur Pengadilan Rakyat ini, Ivy Josiah berkata mereka akan mengirim notis kepada SPR dan pihak terbabit berhubung undangan tersebut.
"Kami akan memaklumkan dan menjemput mereka kelak beserta notis tempat, masa dan butiran lain," kata Ivy.
Kenyataan BERSIH pula menyebut, tribunal tersebut akan dipengerusikan oleh seorang pakar perlembagaan bagi Program Pembangunan PBB di Nepal, Yash Pal Gai.
Tiga wakil Malaysia yang menganggotainya ialah peguam Datuk Azzat Kamaludin, ahli akademik Dr Mavis Puthucheary serta setiausaha agung Majlis Gereja Malaysia Dr Herman Shastri.
BERSIH juga menyenaraikan dua anggota panel antarabangsa - bekas timbalan pengerusi suruhanjaya pilihan raya Indonesia Ramlan Surbakti dan presiden kaukus ASEAN berhubung Myanmar Kraisak Choonhavan.
Menurut BERSIH, satu pasukan guaman juga akan mengemukakan bukti di tribunal tersebut bagi mewakili “rakyat Malaysia”, diketuai seorang pengkaji undang-undang Universiti Malaysia Profesor Gurdial Singh Nijar.
Dalam kenyataan tersebut BERSIH menjelaskan bahawa tribunal itu dianjurkan untuk menangani isu pencabulan hak asasi dan kegagalan kerajaan bertindak dalam perkara tersebut.
"Proses tribunal boleh jadi bersifat pertanyaan atau pertuduhan. Tribunal rakyat memberikan suara kepada warganegara yang mahu menyuarakan pencabulan hak dan diskriminasi terhadap badan bebas.
"Ringkasnya, sistem yang menyebabkan pencabulan ini akan dibicarakan," kenyataan itu dipetik.
Menurut BERSIH, ia mengambil contoh Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur 2011 dan Tribunal Jenayah Perang Antarabangsa 2001 Wanita Tokyo terhadap Perhambaan Seks Wanita Jepun.