Timbalan menteri pendidikan II P Kamalanathan berkata tindakan SK Seri Pristana yang menggunakan bilik persalinan sebagai kantin sementara tidak melibatkan isu berhubung perkauman atau keagamaan.
Kamalanathan yang bercakap kepada pemberita di kantin sekolah itu berkata, isu berkenaan melibatkan lokasi kantin sementara tersebut, yang digunakan sejak Mac tahun ini.
"Biar saya jelaskan. Ini bukan soal agama atau kaum,” katanya yang mengulas laporan awal yang mendakwa hanya pelajar bukan Islam dipaksa makan di kantin sementara pada bulan Ramadan.
Katanya, ia berlaku memandangkan kerja-kerja menaiktaraf kantin tersebut bermula antara seminggu atau dua minggu lalu.
Kamalanathan juga berkata persatuan ibu bapa dan guru sekolah tersebut juga maklum mengenai kantin sementara tersebut sejak Mac kerana ia dibincangkan dalam satu mesyuarat sebelum ia dilaksanakan.