Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Aziz Yusof mencabar ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mengulangi tuduhan bahawa beliau dan timbalannya mempunyai kaitan rapat dengan pembekal dakwat kekal pada pilihan raya umum lalu, di luar Dewan Rakyat.
Aziz ( kiri ) berkata, tuduhan tersebut fitnah dan dakwaan serius terhadap mereka, keluarga dan suruhanjaya itu sendiri dan mereka juga mahu membersihkan nama mereka daripada dibabitkan dengan pembekal dakwat kekal itu.
Beliau juga berkata cabaran mengulangi kenyataannya itu dibuat kerana Rafizi hanya menyebut "kepimpinan SPR" dan tidak menyebut nama kedua-dua pemimpin SPR itu di luar dewan dan sekali gus berbeza dengan apa yang dinyatakan dalam Dewan Rakyat.
"Kami buat keputusan untuk mencabar YB Rafizi, supaya mengulangi di luar dewan sebagaimana yang beliau sebut di dalam parlimen yang melibatkan nama kami, yang menuduh kami ada hubungan rapat atau mengenali rapat dengan pembekal dakwat pada PRU13," katanya
"Kami berharap dalam tempoh satu minggu bermula hari ini, kalau dia betul-betul anak jantan, ulang dakwaan itu di luar dewan.
"Apabila kami mendapat kenyataan itu, kami akan berbincang dengan peguam-peguam kami untuk mengambil tindakan selanjutnya," kata Abdul Aziz dalam sidang media di Kuala Besut hari ini.
'Sudah tentu calon BN undi BN'
Rafizi sebelum ini mendakwa Aziz dan Wan Ahmad mempunyai hubungan rapat dengan pembekal dakwat kekal yang digunakan semasa pilihan raya.
Beliau juga mengulangi dakwaan itu di lobi Dewan Rakyat bahawa kepimpinan SPR mempunyai kaitan dengan pembekal dakwat kekal pilihan raya, setelah diminta berbuat demikian oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Ekoran itu, beliau terlepas daripada dirujuk ke jawatankuasa hak dan kebebasan, yang diusulkan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas).
Ditanya berhubung tindakan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman hari ini yang menunjukkan kertas undinya ( atas ) kepada media sebelum memasukkan ke dalam tong undi, Abdul Aziz:
"Beliau tidak sepatutnya buat demikian. Setiap undi adalah rahsia. Undi adalah rahsia. Sudah tentu dia sebagai calon BN, dia pangkah (BN). Itu bukan rahsia sama sekali. Mustahil dia sebagai calon, dia pangkah orang lain."
Mengulas berhubung penajaan minyak petrol secara percuma oleh Dewan Pemuda PAS Pusat kepada penunggang motosikal berusia 21 tahun semalam sama ada boleh diterima dalam peraturan pilihan raya, Abdul Aziz berkata beliau tidak tahu menahu mengenai program Dewan itu dan pihaknya juga tidak menerima laporan rasmi mengenainya.
Penilaian serius dakwat kekal
Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang turut serta dalam sidang media itu kemudiannya mencelah dan berkata pihaknya perlu mengesahkan sama ada perkara itu benar berlaku sebelum memberikan ulasan.
"Kita perlu sahkan sama ada terdapat baucer yang diberikan, sama ada ia ada kaitan dengan pilihan raya (kecil) ini.
"Mungkin ada sesuatu yang kami tidak tahu. Kami tidak mengetahui sama ada ia ada kaitan dengan pilihan raya. Yang kedua, buat laporan polis, supaya mereka membuat penyiasatan," katanya.
Mengulas penggunaan dakwat kekal itu akan digunakan pada pilihan raya umum akan datang, Abdul Aziz berkata pihaknya akan membuat "penilaian serius" berdasarkan pengalaman penggunaannya ketika pilihan raya umum lalu dan pilihan raya kecil DUN itu.
"Kami akan membuat penilaian serius berhubung penggunaan dakwat kekal berdasarkan pengalaman pilihan raya umum lalu dan kecil Kuala Besut, sama ada untuk diteruskan penggunaan atau menggunakan metod lain.
"Kita tidak ada pengalaman menggunakan dakwat kekal sejak 12 kali pilihan raya. Pilihan raya umum ke-13 adalah kali pertama dan ini kali kedua. Pengalaman mengajar kita," katanya.
Bagaimanapun, pihaknya tidak menetapkan tarikh akhir untuk menjalankan penilaian itu bagi memastikan kajian dibuat secara lebih berhati-hati.