ULASAN Semenjak hari Isnin minggu lalu, Malaysia dan 11 pihak yang terlibat dalam rundingan pelaburan dan perdagangan Perjanjian Kerjasama Trans-Pacific (TPPA) bertemu lagi dalam pusingan ke-18 di Kota Kinabalu.
Ia bertujuan meneruskan proses rundingan bagi perjanjian yang penuh kontroversi tersebut.
Selain Australia, Brunei, Kanada, Chile, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam, Jepun merupakan pihak terbaharu yang menyertai rundingan plurilateral ini.
Kota Kinabalu dipilih sebagai lokasi pertemuan untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya protes.
Sebagai peneraju utama rundingan ini, Amerika Syarikat sememangnya sentiasa mencari jalan untuk mengurangkan kesan publisiti negatif.
Namun, pilihan lokasi tersebut bukanlah penghalang bagi rakyat yang prihatin.
Mereka yang berdemonstrasi di Kota Kinabalu pada hari Sabtu lepas ditahan bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum didakwa bawah Akta Perhimpunan Awam 2012.
Kebimbangan rakyat 12 negara
Kritikan timbul kerana intipati rundingan tersebut dirahsiakan daripada pengetahuan umum dan rakyat daripada kebanyakan 12 negara yang terlibat bimbang TPPA bakal mengancam kedaulatan ekonomi negara mereka.
Walaupun TPP dijenamakan sebagai perjanjian perdagangan bebas (FTA), tetapi bukan hanya isu berkaitan perdagangan yang menjadi topik utama rundingan.
Rundingan berkaitan dengan perdagangan sepatutnya fokus kepada tarif dan halangan-halangan memasuki sesuatu pasaran, teras utama Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) bakal digantikan TPPA.
Rundingan TPPA merangkumi 29 perkara, termasuklah bagaimana pelaburan dikawal selia, hak-hak syarikat milik kerajaan (dikenali sebagai GLC di Malaysia), industri kecil dan sederhana (IKS), piawaian makanan (yang mungkin menjejaskan kawalan ketat dalam industri halal) dan hak perlindungan intelektual dan paten - yang mungkin mengakibatkan kenaikan harga ubat-ubatan.
Dan perkara paling dirisaukan adalah hak dan kelonggaran yang bakal dinikmati syarikat multinasional (MNC) untuk menyaman negara tuan rumah.
Sebagai contoh, perkara terakhir yang disebut dalam senarai kegusaran ramai ini bakal menyekat hak kerajaan untuk mengekang atau langsung mengusir syarikat-syarikat yang memudaratkan persekitaran dan masyarakat, seperti LYNAS Corp.
Para pengkritik dasar BN yang menggalakkan kontrak kroni dan kedudukan dominan GLCs mungkin melihat TPPA sebagai cara menstruktur semula ekonomi di Malaysia. Syarikat asing bakal mendapat peluang yang saksama atau mungkin lebih berbanding syarikat tempatan.
Kombinasi afirmatif, perlindungan
Ini akan memaksa syarikat tempatan untuk meningkatkan daya saing agar kekal teguh, sekali gus merangsang persaingan sihat dalam pasaran tempatan.
Bagaimanapun, campur tangan asing bukanlah jawapan terbaik untuk menyelesaikan masalah di Malaysia.
Memberikan terlalu banyak hak kepada syarikat gergasi asing bakal merencatkan pembangunan usahawan tempatan sepertimana kepincangan sistem kroni.
Sekiranya para perunding tidak berhati-hati, TPPA bakal mengakibatkan kegagalan ekonomi yang lebih dahsyat daripada sistem kroni kerana, ruang dan fleksibiliti bagi penggubal dasar dalam membentuk hala tuju ekonomi Malaysia berlandaskan kepentingan rakyat kemungkinan besar akan mengecil dengan drastik sekali.
Kekangan-kekangan sebegini akan dirasai oleh kerajaan sekarang dan mana-mana kerajaan pada masa hadapan.
Sayugia diingatkan bahawa kejayaan syarikat-syarikat besar dari Jepun dan Korea Selatan adalah hasil kombinasi dasar afirmatif dan perlindungan, sepertimana sedia maklum, hak yang kita tidak seharusnya nafikan bagi syarikat-syarikat milik Malaysia yang layak.
Sebagaimana Ha-Joon Chang, pakar ekonomi Universiti Cambridge menyimpulkan, kesemua negara-negara perindustrian baharu berjaya hasil dasar-dasar seumpama ini terutamanya di peringkat awal pembangunan.
Kekang pengaruh Cina
TPPA juga dilihat sebagai cubaan Amerika Syarikat untuk mengekang pengaruh negara Cina, yang tidak terlibat dalam rundingan ini, di rantau Asia-Pasifik.|
Sememangnya sekarang, Malaysia telah menikmati hubungan dagang yang baik dengan Amerika Syarikat dan Cina.
Sebagai contoh, sepanjang lima bulan pertama 2013, China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia (14.3 peratus), manakala Amerika Syarikat (8.1 peratus) berada di tangga kelima.
Institut Rakyat berpendapat bahawa Malaysia harus berwaspada dalam setiap tindakan yang diambil supaya Malaysia tidak menjadi pelanduk yang tersepit mati di tengah-tengah apabila dua gajah sama berjuang.
Para pemerhati yang arif bersetuju bahawa pendekatan Amerika Syarikat bagi sebarang FTA lebih didorong oleh cita-cita geopolitik mereka berbanding kepentingan ekonomi.
Amerika Syarikat mempunyai rundingan FTA hanya dengan tiga daripada 10 rakan perdagangan terbesar mereka.
Kebanyakkan daripada rakan FTA terbesar Amerika Syarikat merupakan negara yang menjalin hubungan ketenteraan, seperti Israel, Jordan, Korea, Singapura dan negara-negara Amerika Tengah.
‘Great game' abad ke-21
Kedua-dua Amerika Syarikat dan Eropah sememangnya berlumba-lumba untuk menandatangani FTA dengan negara-negara Asia Pasifik, supaya mereka tidak ketinggalan di dalam ‘great game' dunia politik abad ke-21.
Ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah menuntut agar kerajaan Malaysia mendedahkan analisa kos faedah (CBA) yang dibuat sebelum menyertai rundingan TPPA.
Tiada perunding patut menyertai sebarang rundingan tanpa wawasan yang jelas mengenai untung-rugi.
Walaupun Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) berjanji untuk menyerahkan laporan penilaian TPP yang diselaraskan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) dalam masa dua minggu selepas mesyuarat MITI, ahli Parlimen Pakatan dan Institut Rakyat diadakan pada pertengahan bulan Jun 2013, namun sehingga kini, tiada sebarang maklumat yang diterima.
Malaysia perlu menimbang tara antara peluang dan kos dari sudut ekonomi dan politik sebelum menandatangani sebarang perjanjian.
Kerajaan Malaysia yang begitu berbangga dengan sistem demokrasi perwakilannya harus telus dengan rakyat mengenai TPPA memandangkan perjanjian tersebut akan memberi impak terhadap masa depan Malaysia di rantau Asia-Pasifik.