Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pensyarah: Wujud dua piawaian etika media di M'sia

Persoalan sama ada media di Malaysia beretika atau tidak, mempunyai sekurang-kurangnya dua versi jawapan iaitu piawaian profesional pengamal media dan yang bergantung kepada piawaian pemerintah, kata pensyarah pengajian media, Profesor Zaharom Nain.

Menurutnya, piawaian pemerintah dalam menentukan sesuatu organisasi media itu beretika atau tidak, bermula dengan campurtangan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pentadbiran BN.

"Secara umumnya pada tahun 80-an dan 90-an Dr Mahathir dan regim BN mengganggu institusi-institusi utama Malaysia, termasuklah media -  mencampuri dan mengetatkan kawalan ke atas media dan deregulasi media menerusi pemilikan sehingga kerajaan boleh mengawal dan menyelia (media) dengan lebih ketat," katanya di forum Media dan Etika di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, berdasarkan piwaian profesional, akhbar harian seperti Utusan Malaysia diragui etikanya kerana telah banyak kali kalah dalam kes mahkamah melibatkan pertikaian terhadap laporan berita mereka.

Namun jelasnya, persoalan etika yang sama ditanggapi secara berbeza berdasarkan piawai pemerintah.

"Bagi regim ini, berlaku profesional itu adalah apabila tidak mengkritik mereka dan yang paling teruknya apabila pembangkang semuanya dikritik," jelas pensyarah pengajian media di Nottingham University itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The Malaysian Insider, Jahabar Sadiq yang bertindak sebagai pencelah dalam forum itu menimbulkan persoalan jika Utusan Malaysia perlu didakwa atas tuduhan fitnah jenayah memandangkan mereka telah berulang kali kalah dalam kes saman di mahkamah.

"Menurut undang-undang, berdasarkan kes-kes yang mereka kalah, mereka sepatutnya didakwa di bawah jenayah fitnah, yang sehingga kini belum berlaku," katanya.

Bagaimanapun, pendapat beliau disanggah Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas, Masjaliza Hamzah.

Menurut Masjaliza, fitnah jenayah adalah satu undang-undang yang tidak diperlukan lagi dan pendakwaannya juga perlu dilakukan oleh pihak kerajaan yang mengundang risiko pendakwaan terpilih.

"(Undang-undang) jenayah fitnah perlu  dihapuskan kerana ia bukan seperti fitnah sivil.

"Fitnah jenayah adalah apabila kerajaan mendakwa, tiada had masa, dan ada peruntukan penjara - semuanya peruntukan yang teruk untuk undang-undang sebegini.

"Jika kita benarkan kerajaan dakwa Utusan, kita akan berhadapan masalah lebih besar," katanya.

Forum selama dua jam itu dimudahcara CEO portal ABN, Sreedhar Subramaniam dan turut disertai editor kanan portal mysinchew.com, Bob Teoh, dan pensyarah kanan, Wollongong University, Dr Eric Loo.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS