Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP bertegas penculikan satu tindak balas terhadap Alvivi

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bertegas bahawa kes penculikan seorang remaja di Klang merupakan tindak balas terhadap pasangan blogger seks Alvin Tan dan Vivian Lee yang mempersendakan Islam.

Katanya, tindak balas itu adalah sebahagian daripada motif jenayah selain daripada dilakukan untuk mendapatkan wang.

"Saya kata hari itu (penculikan berlaku) antaranya (kerana) sebab tindak balas (terhadap pasangan Alvivi), tapi wang juga salah satu sebab lain.

"Kita tahu dia (penculik) arahkan saudara mangsa itu memasukkan wang RM3,000 ke dalam akaunnya.

"Jadi saya katakan dua-duanya (adalah motif), bukan sebab wang semata-mata," katanya dalam sidang media selepas majlis berbuka Polis Diraja Malaysia dan menteri dalam negeri di Bukit Aman malam ini.

Beliau seterusnya menjelaskan yang penculik itu mengambil kesempatan menggunakan agama susulan tindakan pasangan penulis blog seks itu.

"Sebab itu saya katakan jangan bagi orang peluang untuk ambil kesempatan daripada kes ini," jelasnya lagi.

Khalid bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana beliau membuat kesimpulan yang penculikan itu dibuat secara khusus sebagai tindak balas terhadap pasangan Alvin dan Vivian.

Ng Mun Tatt, 21, dibebaskan penculiknya dalam keadaan bogel dengan tulisan "Saya menghina Islam" pada tubuhnya.

Keluarga Ng bagaimanapun menafikan penculikan itu ada kena mengena dengan penghinaan terhadap agama lain dan ia bermotifkan politik sepenuhnya.

Pasangan Alvin dan Vivian pula kini berhadapan tiga tuduhan mempersendakan Islam dan Ramadan serta memuat naik video, dan gambar lucah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS