Kenyataan bekas MP, Datuk Ibrahim Ali yang menggesa pembakaran kitab Bible dengan kalimah Allah berbeza dengan tindakan pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee yang kini didakwa mempersendakan umat Islam, kata Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Beliau yang juga menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan berkata, Ibrahim pernah menjelaskan kepada beliau yang gesaan itu dibuat dengan anggapan Bible dengan kalimah Allah adalah satu kesilapan percetakan dan membakarnya adalah cara terhormat melupuskan kitab itu, seperti cara umat Islam melupuskan Al-Quran lapuk dan disalah cetak.
Sedangkan katanya, tindakan pasangan penulis blog seks itu bersifat menyerang agama lain, mampu mencetuskan pergeseran agama dan pada masa sama mereka juga turut dikenali di negara jiran Singapura.
"Banyak lagi yang ditonjolkan pasangan ini yang melanggar tatasusila rakyat Malaysia.
"Yang saya khuatirkan apabila kita tak ambil tindakan tertentu ia akan melibatkan pergeseran agama," katanya sewaktu diminta mengulas perkara itu pada sidang media pagi tadi.
Menurutnya, kenyataan Ibrahim tentang pembakaran Bible itu dijelaskan sendiri oleh Ibrahim kepada beliau.
"Itu yang Ibrahim Ali kata tetapi seperti biasa portal-portal tertentu pusing dan mengatakan itu adalah kenyataan untuk membakar kitab Injil (sahaja). Ia tidak betul," katanya yang kemudian menjelaskan Malaysiakini bukan portal berita yang dimaksudkan.
Abdul Rahman juga ditanya mengenai kenyataan Datuk Zulkifli
Noordin yang menimbulkan kemarahan penganut Hindu sebelum ini, tetapi beliau tidak mengulas mengenainya.
Beliau ditemui selepas melancarkan Ops Jalan Raya dan Kempen Anti Membuang Sampah sempena musim perayaan di plaza tol Sungai Besi menghala ke Seremban petang tadi.
Mengenai Ops tersebut, Abdul Rahman berkata pada tahun ini akan berlangsung selama 18 hari dari 1 hingga 18 Ogos dan Jabatan Bomba dan Penyelamat di bawah kementeriannya adalah agensi utama bagi kempen itu.
Menurutnya, pihak bomba akan bertindak sebagai agensi penyelamat utama untuk menangani insiden kebakaran, kemalangan dan bahan kimia berbahaya di 16 lokasi utama yang telah dikenal pasti di seluruh negara.
Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan mahkamah untuk tidak membenarkan Alvin dan Vivian diikat jamin harus dijadikan pengajaran kepada semua untuk tidak sesekali mempermainkan isu agama.
Katanya, perkara tersebut seharusnya menjadi pedoman khsususya golongan muda agar tidak sewenang-wenangnya mempersendakan apa jua agama.
"Sebarang bentuk penghinaan walaupun pada mulanya untuk jenaka tapi dalam soal sensitif, termasuk hal agama tidak boleh dijadikan bahan jenaka dan tidak boleh dikompromi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) hari ini.
Katanya, keharmonian negara seharusnya dipertahankan oleh semua golongan dan usah sesekali cuba menyentuh perkara terkandung dalam Perlembagaan seperti agama Islam sebagai agama rasmi negara.
Ahmad Zahid juga meminta supaya apa sahaja keputusan mahkamah berhubung kes itu diterima umum kerana isu agama tidak boleh dilanggar atau dipolemikkan sehingga menjurus kepada kontroversi.