Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian duit raya berjumlah RM32,313,300 kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara.
Replika cek duit raya itu diserahkan kepada setiap ketua peneroka Wilayah Felda pada program Ihya Rahmat warga Felda peringkat kebangsaan di Sungkai malam ini.
Najib berkata peneroka yang bersama Felda akan menerima RM300 manakala yang tidak bersama Felda menerima RM150.
"Sebelum ini peneroka hanya bergantung kepada hasil ladang mereka sahaja, tapi hari ini setiap peneroka dapat dari punca-punca lain.
"Dalam perjalanan ke sini tadi, saya kira-kira punca lain yang setiap peneroka dapat termasuk bonus tahunan, duit raya dan durian runtuh sebanyak tiga kali," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 7,000 peneroka pada program itu di Felda Gunung Besout 2 di sini.
Najib turut mengumumkan pembinaan 420 unit Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) bagi gugusan Besout dengan keluasan 19.14 hektar di samping pembinaan sebuah dewan serbaguna bernilai RM900,000 di Felda Besout 2.
Beliau berkata nikmat dan perubahan yang dikecapi warga Felda hari ini adalah hasil perjuangan yang dibawa kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).
Katanya semasa dailog pintar di Tanzania baru-baru ini, kebanyakan negara yang mendapat kemerdekaan hampir sama dengan Malaysia masih membicarakan mengenai pembangunan pertanian di luar bandar yang tidak maju serta bekalan asas.
"Sedangkan perkara ini di negara kita telah tinggal dalam lipatan sejarah. Kita telah berjaya menyelesaikan agenda pembangunan luar bandar. Ini bukan perkara yang disebut secara khayalan tapi dilihat dengan mata kita sendiri," katanya.
Beliau turut menolak dakwaan pembangkang dua tahun lepas bahawa Felda akan bankrap dengan menjelaskan kedudukan agensi itu semakin kukuh dan mantap.
"Felda tidak bankrap. Nilai saham yang terkumpul Kumpulan Felda termasuk dalam syarikat tersenarai kalau kita jual lebih RM8 bilion yang boleh diperoleh," katanya.
Kejayaan Felda juga dibuktikan dengan memiliki kilang di Kanada, restoran di Mekah, hotel di Kota Kinabalu dan pemilikan tanah di Kalimantan, Indonesia, katanya.
"Kita ada perancangan untuk jangka masa lebih jauh ke hadapan. Kita harap satu hari nanti Felda jadi lebih besar dan kukuh di pasaran antarabangsa," katanya.
Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
- Bernama