Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh ekoran tindakan MP Kinabatangan membangkitkan dakwaan bahawa DAP mungkin "menaja" tindakan pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee yang memuatkan kandungan kontroversi di Internet.
Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) dalam ucapannya pagi ini meminta agar kerajaan menahan dan menghukum pasangan terbabit yang sebelum ini terkenal dengan kontroversi video seks.
Kekecohan tercebut apabila Bung mendakwa DAP mungkin "menaja" pasangan tersebut.
"Mereka perlu didakwa dan ditangkap serta merta, jangan dibebaskan. Penjarakan.
"Saya rasa gejala ini berlaku selepas (Pilihan Raya Umum ke-13) PRU 13, mungkin ini semua tajaan DAP," kata Bung.
Kenyataannya itu mengundang kemarahan MP DAP yang bangun dan membantahan dakwaan tersebut, antaranya V Sivakumar (DAP-Batu Gajah), Anthony Loke (DAP-Seremban), Nga Kor Ming (DAP-Taiping).
"Ini fitnah. Tarik balik. Tarik balik kenyataan," jerit Nga.
Bung Mokhtar bagaimanapun hanya ketawa apabila melihat seorang demi seorang MP berkenaan bangun membantah kenyataannya.
"Saya kata mungkin. Bukan tuduhan," katanya lagi sambil ketawa.
Teresa Kok (DAP-Seputeh) yang bangun untuk mempersoalkan dakwaan Bung Mokhtar memetik Peraturan Mesyuarat 36 (6) yang menyebut seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas siapa-siapa ahli lain.
Enggan mengalah, Bung berkata beliau tidak menyebut nama mana-amana MP secara langsung.
"Saya kata DAP secara umum. Mungkin DAP. Hanya mungkin," kata Bung lagi.
Suasana riuh-rendah tersebut cuba ditenangkan timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed yang meminta ahli Dewan supaya menggunakan bahasa yang sopan.
Bagaimanapun, keadaan itu berterusan apabila Bung sekali lagi bangun dan cuba mengaitkan Cong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) dengan kegiatan Alvin dan Vivian.
"Pasangan ini buat video seks mereka di Singapura dan sekarang mereka lakukan ini (menghina Islam) di Malaysia. Mungkin Bandar Kuching juga terlibat," katanya sambil ketawa.
Chong yang tidak berpuas hati dengan tuduhan berkenaan, dengan memetik peruntukan peraturan mesyuarat sama, meminta Bung Mokhtar menarik balik dakwaan tersebut.
Bung Mokhtar kemudiannya mengubah nada ucapannya, selepas ditegur timbalan Speaker buat kali kedua.
Katanya: "Saya bimbang mungkin Bandar Kuching menonton (video seks Alvin dan Vivian)."
Turut menyertai perbahasan tersebut ialah ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan sokongan agar tindakan segera perlu diambil terhadap pasangan kontroversi itu.
"Kita tak boleh membenarkan sesiapa untuk menghina Islam di negara ini atau sesiapa menghina mana-mana agama.
"Pendirian kami jelas. Tidak boleh dilengahkan lagi. Perbuatan menghina agama ini tidak boleh dibenarkan," kata Anwar.