Ahli Parlimen Kampar Ko Chung Sen mempersoalkan satu ketetapan baru kementerian pengajian tinggi yang menurutnya bakal menjadikan mata pelajaran Tamadun Islam sebagai subjek wajib bagi pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
Sedangkan, katanya, ia hanya ditetapkan kepada pelajar tempatan dan dikecualikan bagi pelajar antarabangsa.
Beliau berkata, Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi akan menguatkuasa ketetapan itu pada 1 September untuk diselaras dengan sukatan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
"Subjek ini tidak ada kena mengena dengan kursus dan ijazah yang akan diberikan.
"Jika tidak wajib kepada pelajar antarabangsa, kenapa wajib bagi pelajar tempatan? Kenapa ia wajib bagi pelajar bukan Islam?
"Kami menggesa Kementerian Pelajaran mengubah keputusan itu dan membiarkan pelajar (IPTS) membuat keputusan sendiri sama ada subjek itu perlu atau tidak dengan kursus mereka," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian berdasarkan satu jawapan bertulis dari Kementerian Pendidikan yang diterimanya Isnin lalu, yang menyatakan bahawa subjek bagi kursus mata pelajaran umum termasuk Tamadun Islam akan menjadi subjek wajib lulus untuk tamat pengajian.
Mengulas lanjut, Ko berkata lagi, tidak adil bagi pelajar bukan Islam mempelajari subjek tersebut kerana golongan itu mempunyai latar belakang agama yang berbeza.
"Mereka juga dah dibesarkan dengan latar belakang agama masing-masing dan mempunyai asas yang kukuh dalam ajaran mereka," katanya.
Keadaan itu berbeza dengan pelajar beragama Islam yang sudah biasa dengan mata pelajaran Tamaadun Islam sejak di bangku sekolah lagi, katanya.
"Jadi, kenapa perlu untuk (siswa bukan Islam) pelajari di universiti," kata Ko lagi.