Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Pelancongan Datuk Seri Abdul Nazri Aziz hari ini berkata, kabinet telah bersetuju untuk memansuhkan Akta Hasutan dalam satu pertemuan yang diadakan tahun lalu.

Beliau yang memegang portfolio perundangan sebelum ini juga berkata, pengumuman tentang pemansuhan akta itu dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Kebangsaan juga telah dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tahun lalu.

"Saya masih ingat lagi semasa saya menjadi menteri yang bertanggungjawab dalam hal undang-undang dalam Parlimen yang lepas, perdana menteri ada berucap dalam persidangan undang-undang di KLCC dan membuat pengumuman akan memansuhkan akta hasutan dan ganti dengan akta baru yang akan menjaga keharmonian negara.

"Kemudian perkara itu dibawa (ke kabinet) dan Jabatan Peguam telah diminta untuk mengkaji secara terperinci. Perdana menteri tidak pernah menarik balik kenyataannya," kata Nazri.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di lobi di Parlimen hari ini.

Peguam negara sedang kaji

Pagi tadi, Menteri Kesihatan Datuk Seri S Subramaniam berkata, hasrat kerajaan memansuhkan Akta Hasutan merupakan "cadangan" oleh Najib.

Subramaniam berkata, kabinet akan "mempertimbangkan" kenyataan perdana menteri itu dan membuat "keputusan yang baik".

Sementara itu, ketika ditanya mengapa Subramaniam memberi kenyataan berbeza, Nazri berkata, kemungkinan Timbalan Presiden MIC itu terlupa memandangkan banyak mesyuarat diadakan tahun lalu.

Selain itu, bercakap mengenai akta baru yang akan menggantikan Akta Hasutan, Nazri berkata, perkara itu masih lagi dalam perbincangan Jabatan Peguam.

"Tiada (mesyuarat lain). Perdana menteri ada memberitahu bahawa Jabatan Peguam akan mengkaji akta hasutan itu. Itulah komitmennya.

"Jabatan Peguam Negara sedang dalam proses untuk mengkaji dan berjumpa dengan pihak yang berkepentingan sebelum mewujudkan akta baru," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS